Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura kembali ke Fasa 2 Kewaspadaan Dipertingkat dari 22 Jul - 18 Ogos

Menjamu selera di kedai F&B tidak dibenarkan dan jumlah orang dalam perhimpunan sosial dihadkan semula kepada dua orang dengan Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) untuk menangani kes COVID-19 yang terus meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jul 2021 04:29PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 12:53AM

SINGAPURA: Menjamu selera di kedai F&B tidak dibenarkan dan jumlah orang dalam perhimpunan sosial dihadkan semula kepada dua orang dengan Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) untuk menangani kes COVID-19 yang terus meningkat.

Langkah-langkah tersebut berkuat kuasa mulai Khamis (22 Jul) hingga 18 Ogos dan menggantikan langkah-langkah yang diumumkan sebelum ini pada Isnin, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.

Pemerintah akan menyemak semula langkah-langkah tersebut dalam dua minggu dan menyesuaikannya berdasarkan keadaan pada waktu itu, tambah MOH.

Pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 memutuskan untuk tidak melaksanakan langkah berbeza-beza bagi mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya, namun akan mempertimbangkan langkah sedemikian apabila kadar vaksinasi bertambah atau keadaan menjadi stabil, kata pengerusi bersama pasukan bertindak Gan Kim Yong dalam satu sidang media pada Selasa.

"Kami tahu bahawa berita ini sangat menghampakan dan mengecewakan banyak pihak, terutama bagi perniagaan dalam sektor seperti F&B. Sektor-sektor ini telah sangat terjejas memandangkan sekatan-sekatan sebelum ini, mereka juga bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan perubahan peraturan,” akur Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

HAD PERHIMPUNAN SOSIAL, TETAMU KE RUMAH

Mulai Khamis, jumlah orang dibenarkan dalam perhimpunan sosial akan dikurangkan daripada lima orang kepada dua orang.

Jumlah tetamu di rumah juga dihadkan kepada dua orang setiap hari. MOH dalam kenyataannya menekankan orang ramai harus terus mengehadkan perhimpunan sosial mereka kepada tidak lebih daripada dua dalam sehari.

Sama seperti tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sebelumnya dari 16 Mei hingga 13 Jun, cucu yang dijaga datuk dan nenek mereka tidak akan diambil kira bagi jumlah tetamu atau perjumpaan sosial.

“Datuk dan nenek sangat digalakkan agar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, untuk melindungi diri mereka sendiri serta cucu-cucu mereka. Untuk mengurangkan risiko penularan, mereka juga harus mengurangkan pergaulan cucu dari isi rumah yang berbeza,” tambah kementerian itu.

Semua perniagaan F&B, termasuk pusat penjaja dan pusat makanan, hanya dapatboleh menawarkan khidmat penghantaran serta bungkus dan dibawa pulang mulai Khamis.

Pengerusi bersama pasukan bertindak Lawrence Wong akur bahawa banyak perniagaan telah menanti-nantikan pembukaan semula dan membuat persiapan untuk membezakan pelanggan mereka berdasarkan status vaksinasi.

Langkah melaksanakan semula Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) adalah "keputusan yang sangat sukar untuk dibuat" dan telah difikirkan masak-masak oleh pasukan bertindak, jelas Encik Wong.

KEGIATAN TANPA PELITUP DILARANG; UJIAN BAGI KAKITANGAN BERDEPAN PELANGGAN

Kegiatan-kegiatan lain tanpa pelitup, seperti kelas senaman berat dalam ruang tertutup atau kegiatan sukan dan senaman di tempat tertutup secara individu mahupun berkumpulan, juga dihentikan.

Khidmat peribadi yang perlu membuka pelitup seperti 'facial' dan sauna, serta menyanyi dan memainkan alat muzik tiup juga tidak dibenarkan.

"Sekatan ini tidak merangkumi nasihat perubatan dan pergigian yang memerlukan pesakit membuka pelitup. Rawatan muka bukan untuk sebab perubatan tidak akan dikecualikan dari sekatan ini,” jelas Kementerian Kesihatan.

Mereka yang bekerja dalam sekitaran di mana pelanggan yang tidak memakai pelitup perlu menjalani rejim wajib Ujian Pantas dan Mudah mulai pertengahan Julai. Mereka tidak perlu mengambil ujian itu semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sekiranya operasi perniagaan mereka digantung.

Bagi perniagaan yang terus dibuka, termasuk kedai F&B yang dibuka bagi khidmat penghantaran dan bawa pulang, kakitangan harus terus mematuhi syarat ujian berkala setiap 14 hari, dan ujian kekal dijalankan secara percuma sepanjang tempoh ini. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan