Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura harus terima kadar pertumbuhan tenaga kerja yang lebih perlahan, kata ketua MAS

Kadar pertumbuhan tenaga kerja yang perlahan di Singapura adalah satu keadaan yang tidak dapat dielakkan, kata ketua bank pusat Encik Ravi Menon, hari ini (22 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura harus terima kadar pertumbuhan tenaga kerja yang lebih perlahan, kata ketua MAS

Gambar fail ketua bank pusat Encik Ravi Menon. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 22 Jan 2018 03:50PM Dikemas Kini : 22 Jan 2018 04:12PM

SINGAPURA: Kadar pertumbuhan tenaga kerja yang perlahan di Singapura adalah satu keadaan yang tidak dapat dielakkan, kata ketua bank pusat Encik Ravi Menon, hari ini (22 Jan).

Tambah beliau sebarang usaha untuk melakukan sebaliknya dengan menambah jumlah pekerja asing juga "tidak boleh dilaksanakan dan sesuatu yang tidak diingini".

Singapura menghadapi masalah yang biasa berlaku kepada banyak masyarakat maju, iaitu penduduk yang semakin tua, tetapi sudah mengetatkan sekatan terhadap pekerja asing dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kita mesti menerima kadar pertumbuhan tenaga buruh yang lebih rendah," kata Encik Menon, pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam ucapan mengenai kesan penduduk yang semakin tua di Singapura.

Encik Menon berkata pertumbuhan GDP pada dasarnya adalah jumlah pertumbuhan daya penghasilan dan pertumbuhan tenaga buruh. Maka itu, tambahnya, meningkatkan daya penghasilan menjadi sangat penting bagi ekonomi Singapura untuk terus maju.

Menurut data pemerintah, jumlah warga Singapura dan penduduk tetap berumur 15 tahun ke atas dalam tenaga kerja meningkat 1.1 peratus pada tahun ini hingga Jun 2016, iaitu kadar pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh tiga tahun.

Mengenai penduduk yang semakin tua, Encik Menon juga berkata rakyat Singapura harus menangani persoalan penting mengenai cara menggunakan cukai untuk menyokong mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat.

"Keupayaan masyarakat untuk mengekalkan dinamisme... dan berurusan dengan gangguan ekonomi akan bergantung kepada respons fiskal pemerintah. Selain itu, kami mempunyai kesan demografi dan penuaan penduduk," kata Encik Menon di acara yang berlangsung di Institut Kajian Dasar.

"Kesediaan masyarakat untuk membayar cukai bagi menyokong orang-orang yang kurang bernasib baik adalah sangat kritikal. Anda lihat ini di negara-negara Eropah yang kecil dan mereka melakukannya dengan baik dan saya fikir ini adalah salah satu daripada soalan penting yang harus kita hadapi."

Kadar cukai Singapura antara yang paling rendah di dunia. Para pegawai pemerintah sudah memberi isyarat tentang perlunya cukai yang lebih tinggi untuk menyokong keperluan perbelanjaan sosial dan prasarana masa depan. Perubahan-perubahan berkaitan dengannya mungkin didedahkan seawal pembentangan Belanjawan pada 19 Feb nanti, kata penganalisis.

Satu tinjauan yang diterbitkan minggu lalu menunjukkan warga Singapura tidak menyokong saranan menaikkan cukai bagi menyokong kos menampung warga tua. Sebaliknya mereka lebih cenderung jika Singapura memanfaatkan rizab negara untuk menangani perbelanjaan sosial lebih tinggi pada masa depan.

Sumber : Today/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan