Images
  • bangunan mha
    Bangunan MHA

Singapura hantar pulang beberapa warga Myanmar yang gembleng sokongan bagi Tentera Arakan

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Rabu (10 Jul) menyatakan pihaknya sedang menghantar pulang beberapa warga Myanmar kerana menggunakan Singapura sebagai wadah untuk "menganjurkan dan menggembleng sokongan bagi pemberontakan bersenjata terhadap pemerintah Myanmar".

Berikut adalah kenyataan penuh kementerian itu:

"Siasatan mendedahkan sekumpulan warga Myanmar di Singapura menganjurkan dan menggembleng beberapa anggota masyarakat Myanmar di sini untuk menyokong Tentera Arakan (AA) dan sayap politiknya, Liga Bersatu Arakan (ULA).

"AA adalah kumpulan bersenjata yang pernah mengadakan serangan ganas di Myanmar. Ini termasuk dua serangan ke atas balai-balai polis pada Januari dan Mac 2019, di mana AA mengaku merampas bilangan besar senjata dan peluru dari balai-balai polis itu. Menurut beberapa laporan, AA membunuh lebih 20 pegawai polis semasa dua serangan itu. Ahli keluarga para pegawai polis, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan diculik oleh AA semasa serangan.

"AA dikategorikan sebagai sebuah kumpulan pengganas oleh pemerintah Myanmar. Warga-warga Myanmar yang disiasat didapati penyokong AA.

"Salah seorang individu yang disiasat mempunyai hubungan langsung dengan seorang pemimpin penting AA. Atas arahan kepimpinan AA, dia menggembleng sokongan di kalangan masyarakat Arakan setempat dan menyelaras usaha mengumpul dana bagi AA di sini. Dia juga menggesa masyarakat untuk menyumbang kepada sebuah "Dana Kebangsaan" kerana mereka memerlukan tentera yang kukuh untuk memperjuangkan nasib mereka. Acara-acara sosio-budaya di sini disalahgunakan untuk menyebarkan perjuangan AA dan menggembleng sokongan bagi 'tanah air' Rakhine.

"Individu yang disiasat juga menghulurkan sokongan kewangan kepada AA. Satu daripada mereka memberi sumbangan secara bulanan kepada AA.

"Semua individu yang disiasat turut terlibat dalam sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan AA dan ULA di Singapura. Para hadirin memakai pakaian yang menunjukkan logo rasmi AA. Di acara itu, para peserta menggambarkan serangan bersenjata AA ke atas tindakan Angkatan Bersenjata Myanmar di wilayah Rakhine. Mereka yang hadir menyarungkan seragam tentera tentera dengan senjata api replika. Terdapat juga penstriman video langsung di mana di mana pemimpin AA menggesa rakyat Rakhine untuk bersatu dan berjuang demi kemerdekaan Rakhine menerusi konflik bersenjata AA terhadap pihak berkuasa.

"Dokumen kebenaran imigresen mereka yang terlibat dalam kegiatan yang menimbulkan kebimbangan keselamatan akan dibatalkan, dan mereka akan dihantar pulang dari Singapura."

MHA menyatakan pihaknya mengambil pandangan yang amat serius terhadap sesiapa sahaja yang menyokong, menggalakkan, melakukan atau membuat persediaan untuk melakukan keganasan bersenjata, dan bahawa mana-mana individu, warga tempatan mahupun asing, yang terlibat dalam kegiatan sedemikian, yang boleh menjejas keselamatan Singapura, akan ditangani dengan tegas.

"MHA mengiktiraf bahawa majoriti rakyat Myanmar di Singapura patuh kepada undang-undang dan menyumbang kepada negara kita. Kita mesti berhati-hati untuk tidak membiarkan tindakan beberapa individu merosakkan sumbangan positif daripada seluruh masyarakat yang hidup secara harmoni di kalangan kita," tegas MHA.

- CNA/TQ/tq

Top