Images
  • singapore covid-19 crowd
    (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Singapura catat jumlah harian tertinggi 1,457 kes baru COVID-19; 3 lagi kematian

SINGAPURA: Sebanyak 1,457 kes COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Rabu (22 Sep), iaitu jumlah tertinggi dicatatkan sejak pandemik bermula awal tahun lalu.

Jumlah itu mengatasi keseluruhan jangkitan yang dicatat pada 20 April tahun lalu, apabila 1,426 kes dilaporkan, kebanyakannya melibatkan pekerja hijrahan di dormitori.

Pada Rabu, 1,453 daripada 1,457 kes baru adalah jangkitan tempatan termasuk 176 kes melibatkan penghuni dormitori. Empat lagi adalah kes import.

Terdapat lagi tiga kes kematian berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia di Singapura mencecah 68 orang keseluruhannya.

Kementerian Kesihatan (MOH), dalam kenyataannya, memberi butiran lanjut mengenai tiga kes tersebut.

Kes pertama melibatkan lelaki Singapura berusia 65 tahun yang meninggal dunia pada Rabu. Beliau diuji positif COVID-19 pada 1 Sep dan belum divaksinasi. Lelaki itu mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi serta tahap akhir penyakit ginjal.

Kes kedua pula membabitkan wanita Singapura berusia 90 tahun yang meninggal dunia pada Selasa (21 Sep). Beliau diuji positif pada 13 Sep dan sudah mendapatkan suntikan vaksin lengkap. Wanita itu mempunyai sejarah penyakit angin ahmar, semput, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi dalam darah.

Kes ketiga melibatkan lelaki Singapura berusia 50 tahun yang juga meninggal dunia kelmarin. Beliau belum divaksinasi dan diuji positif COVID-19 pada 13 Sep. Lelaki itu tidak mempunyai sebarang masalah perubatan yang diketahui.

Dalam pada itu, dalam kalangan kes baru yang dilaporkan hari ini termasuk 389 warga emas berusia lebih 60 tahun, kata MOH.

Setakat Rabu, Singapura telah mencatat 81,352 kes COVID-19 keseluruhannya dan 68 kematian disebabkan penyakit itu.

KES SERIUS

Sebanyak 1,083 pesakit kini dirawat di hospital, 26 lebih daripada Selasa, dengan kebanyakannya dalam keadaan sihat dan di bawah pengawasan, kata MOH.

Terdapat 145 kes yang sakit teruk hingga memerlukan bantuan oksigen dan 19 dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang sakit amat teruk, 134 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, 97.9 peratus kes tempatan tidak mengalami simptom atau hanya mempunyai gejala ringan.

Secara keseluruhannya 260 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 25 di ICU.

Dalam kalangan mereka, 54 peratus sudah menerima suntikan vaksin penuh dan 46 peratus hanya menerima satu dos suntikan atau belum divaksin.

KELOMPOK BARU DI DORMITORI WOODLANDS
MOH juga dalam kemas kini hariannya menyatakan sebuah dormitori pekerja hijrahan di Woodlands ditambah ke dalam senarai 12 kelompok besar yang sedang dipantau rapi.

Dormitori itu mempunyai 54 kes selepas lapan kes ditambah kepada kelompok tersebut.

Menurut MOH tidak ada bukti bahawa penyakit itu menular di luar kawasan dormitori dan kes yang terkena jangkitan dikenal pasti menerusi operasi ujian.

KADAR VAKSINASI

Setakat 21 Sep, 82 peratus penduduk sudah mendapatkan suntikan vaksin lengkap manakala 84 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Sebanyak 8,990,844 dos vaksin COVID-19 diberi di bawah program vaksinasi negara meliputi 4,582,020 individu dengan 4,459,445 orang lengkap rejimen vaksinasi mereka.

Selain itu,186,019 dos vaksin lain diberi di bawah senarai penggunaan kecemasan WHO kepada 87,177 orang.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TODAY/SU/tq

Top