Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Singapura, Bahrain sahkan hubungan pertahanan erat

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman melawat Bahrain bagi Dialog Manama yang ke-14 dari Jumaat (26 Okt) hingga hari ini (28 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Singapura, Bahrain sahkan hubungan pertahanan erat

Dr Maliki Osman semasa mengadakan pertemuan dengan Menteri Ehwal Pertahanan Bahrain, Leftenan Jeneral Yousef Bin Ahmed Bin Hussain Al Jalahma. (Gambar: MINDEF)

BERITAmediacorp: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman melawat Bahrain bagi Dialog Manama yang ke-14 dari Jumaat (26 Okt) hingga hari ini (28 Okt).

Dianjurkan oleh Institut Pengajian Strategik Antarabangsa, dialog tahunan itu adalah forum keselamatan utama bagi para pegawai kanan pertahanan, keselamatan dan ehwal luar dari merata dunia.

Dialog Manama menghimpunkan para pegawai tersebut bagi membincangkan cabaran keselamatan di Timur Tengah dan seluruh dunia.

Semasa di Bahrain, Dr Maliki menghadiri majlis jamuan malam yang dihoskan oleh Raja Hamad Bin Isa Al Khalifa.

Beliau juga menghadiri majlis jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Menteri Ehwal Luar Bahrain, Shaikh Khalid Bin Ahmed, di mana para pemimpin delegasi membincangkan mengenai perkembangan keselamatan serantau.

Dr Maliki turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bahrain, Putera Khalifa Bin Salman Al Khalifa, Menteri Shaikh Khalid dan Menteri Ehwal Pertahanan Leftenan Jeneral Yousef Bin Ahmed.

Semasa pertemuan itu, para pemimpin mengesahkan hubungan pertahanan dua hala yang erat, kukuh dan muhibah antara Singapura dengan Bahrain.

Dr Maliki juga melahirkan penghargaan Singapura terhadap sokongan Bahrain bagi pengerahan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menyokong perikatan berbilang negara dalam usaha menewaskan kumpulan IS di Iraq dan Syria, serta Teluk Aden di bawah bidang tugas Pasukan Bertindak Gabungan 151.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Penolong Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad Al Ayesh dan Penolong Menteri Pertahanan Mesir, Mejar Jeneral Mohammed El Keshky di luar Dialog Manama.

Singapura menghadiri Dialog Manama sejak ia dimulakan pada tahun 2004.

Dialog itu dihadiri oleh lebih 25 negara termasuk Australia, Mesir, Perancis, Jordan, Kuwait, Arab Saudi, Turki, Amiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Amerika Syarikat.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan