Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sindiket judi online diserbu, wang tunai lebih $1.2 juta dirampas, 28 orang diberkas

Wang tunai lebih S$1.2 juta dirampas dalam serbuan terhadap satu sindiket perjudian dalam talian, menurut polis pada Rabu (21 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Sindiket judi online diserbu, wang tunai lebih $1.2 juta dirampas, 28 orang diberkas

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 21 Apr 2021 04:21PM Dikemas Kini : 21 Apr 2021 04:23PM

SINGAPURA: Wang tunai lebih S$1.2 juta dirampas dalam serbuan terhadap satu sindiket perjudian dalam talian, menurut polis pada Rabu (21 Apr).

Jumlah wang tunai yang dirampas itu adalah antara jumlah terbesar yang dirampas dalam satu operasi polis bagi membanteras perjudian secara haram.

Seorang wanita dan 27 lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam menyediakan khidmat perjudian dalam talian 4D, TOTO dan taruhan kuda secara haram.

Mereka dipercayai adalah sebahagian daripada sindiket yang menggunakan laman judi dan aplikasi mesej di telefon untuk menjalankan kegiatan perjudian tersebut, menurut polis.

Selama dua jam pada Selasa (20 Apr), lebih 180 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Perisikan Polis dan Pasukan Operasi Khas menjalankan serbuan secara serentak.

Serbuan itu dilakukan di beberapa lokasi merata Singapura termasuk Tampines, Punggol, Sengkang, Hougang dan Yishun.

Selain daripada wang tunai S$1.2 juta, peralatan seperti komputer, telefon bimbit, rekod taruhan judi turut dirampas.

(Gambar: SPF)

Polis menyatakan akaun bank suspek juga dibekukan bagi siasatan dan bagi mengelakkan hasil daripada jenayah yang disyaki dipindahkan.

Enam lelaki berusia antara 38 dengan 49 tahun akan didakwa di mahkamah pada Rabu (21 Apr) atas kesalahan di bawah Akta Perjudian Dalam Talian 2014. Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda antara S$20,000 dengan S$200,000 dan dihukum penjara sehingga lima tahun bagi setiap tuduhan.

Siasatan terhadap suspek yang lain masih dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis How Kwang Hwee berkata operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis untuk "menyekat dan menumpaskan" sindiket jenayah di Singapura.

"Polis akan mengambil langkah penguatkuasaan tegas terhadap kumpulan jenayah sedemikian bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian di Singapura. Mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan haram akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan