Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Simbah air panas pada anak 5 tahun hingga maut; suami isteri dibicara di mahkamah

Sepasang ibu bapa dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (12 Nov) kerana membunuh anak lelaki mereka tiga tahun lalu, dengan pihak pendakwa menggambarkan penganiayaan yang sangat "dahsyat".

Anggaran Waktu Membaca:
Simbah air panas pada anak 5 tahun hingga maut; suami isteri dibicara di mahkamah

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 12 Nov 2019 03:58PM Dikemas Kini : 12 Nov 2019 04:01PM

SINGAPURA: Sepasang ibu bapa dihadapkan ke mahkamah pada Selasa (12 Nov) kerana membunuh anak lelaki mereka tiga tahun lalu, dengan pihak pendakwa menggambarkan penganiayaan yang sangat "dahsyat".

Sebelum meninggal dunia akibat kelecuran yang sangat teruk dan trauma pukulan pada bahagian kepala, anak lelaki berusia lima tahun itu dicubit dengan playar, melecur akibat sudu panas dan dikurung dalam sangkar kucing, kata pihak pendakwa.

Mahkamah diberitahu bahawa ibu bapa yang berusia 27 tahun itu, Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, mempunyai beberapa orang anak dan tinggal bersama sebilangan daripada anak-anak mereka di sebuah flat sewa satu bilik.

Sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti mangsa dan anak-anak lain pasangan itu tidak boleh diterbitkan atas arahan mahkamah.

Ridzuan berdepan dengan sembilan tuduhan termasuk membunuh dengan niat, mendera seorang kanak-kanak dan secara sukarela menyebabkan kecederaan menggunakan bahan yang panas. Azlin pula berdepan dengan enam tuduhan serupa, termasuk bersubahat untuk menyebabkan kecederaan secara sukarela.

Pasangan suami isteri itu sedang menganggur ketika itu dan bergantung kepada bantuan kewangan, dengan Ridzuan menjual barangan seperti tangkal, minyak pengasih dan dan mata wang lama secara online di Carousell.

IBU BAPA ANIAYA BUDAK ITU: PENDAKWA

Menurut pendakwa, mangsa diserahkan kepada sebuah keluarga titipan sejurus setelah dilahirkan pada Januari 2011, namun dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya pada Mei 2015.

"Sejak sekitar Julai 2016, kedua-dua tertuduh mula mendera mangsa secara fizikal dan psikologi dengan pelbagai cara," menurut Timbalan Pendakwa Raya Tan Wen Hsien, Daphne Lim dan Li Yihong.

Kedua-dua ibu bapa dituduh menggunakan playar untuk mencubit peha dan punggung budak itu, memukulnya dengan penyapu atau penyangkut baju, menyebabkan kelecuran dengan menggunakan sudu panas dan air panas, menggunakan tangan untuk memukul mangsa dan mengurung mangsa dalam sangkar kucing.

Dari pertengahan hingga lewat Oktober 2016 sebelum budak itu meninggal dunia, kedua-dua tertuduh menyebabkan kelecuran dengan menyimbah air panas sekurang-kurangnya empat kali pada anak mereka itu, menurut pihak pendakwa.

HARI MANGSA DIDAKWA DIBUNUH

Penderaan yang membawa maut berlaku pada sekitar tengah hari 22 Oktober 2016, menurut pihak pendakwa dalam hujah pembukaan mereka. Pada waktu itu, budak berkenaan diletakkurung dalam sangkar berukuran 0.91 meter kali 0.58 meter kali 0.7 meter.

Oleh kerana mangsa enggan menanggalkan seluar pendeknya sebelum mandi, bapanya Ridzuan mula memukul kepala, lengan dan kakinya dengan penyapu.

Ridzuan kemudian menyimbah beberapa cawan air panas pada budak itu yang menjerit "tak nak, tak nak", menurut pendakwa.

Budak itu kemudian membongkok di dalam tandas, dan Ridzuan menuang air panas pada bahagian belakang dan betis mangsa, menurut pendakwa lagi.

Budak itu kemudian jatuh tersungkur di lantai tandas.

"Walaupun dalam keadaan sedemikian, kedua-dua tertuduh tidak membawa mangsa ke hospital dengan serta-merta kerana takut ditangkap kerana menganiaya anak mereka," menurut pihak pendakwa.

Mereka hanya membawa mangsa ke hospital selepas lebih enam jam dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK memaklumkan pihak polis tentang kes "kecederaan bukan kemalangan".

Bapa budak lelaki itu diberkas di flatnya sehari kemudian, manakala ibunya pula ditangkap pada 25 Oktober 2016.

75% BADAN MANGSA MELECUR

Profesor Madya Loh Tsee Foong, yang memberi keterangan sebagai saksi pertama pihak pendakwa pada Selasa, mencatatkan kecederaan mangsa dalam diagnosisnya.

Ia termasuk: Kelecuran yang sangat teruk, dehidrasi, kecederaan ginjal akut, keretakan tulang hidung dan beberapa luka melecet pada bahagian muka. Budak itu juga didiagnos mengalami anemia kekurangan ferum dan masalah daya pertuturan.

Budak lelaki itu meninggal dunia sehari selepas dimasukkan ke hospital akibat kecederaannya.

Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh kelecuran yang sangat teruk. Kecederaan akibat pukulan pada bahagian kepala turut menyumbang kepada kematiannya. Sekitar 75 peratus tubuh mangsa mengalami kelecuran.

Ahli patologi mengesahkan bahawa kelecuran yang dialami mangsa sudah cukup untuk membawa maut.

Analisis saintifik oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) kemudian mendapati suhu dispenser air panas yang digunakan bagi kesalahan-kesalahan itu adalah antara 86.5 hingga 98.7 darjah Selsius, dengan suhu purata sekitar 92.6 darjah Selsius. Air pada suhu ini akan menyebabkan kelecuran dengan serta-merta pada kulit budak itu.

Pihak pendakwa akan mengemukakan bukti daripada 44 saksi sepanjang tempoh perbicaraan.

Azlin diwakili sepasukan peguam termasuk peguam bela Thangavelu, Terence Tan dan Cheryl Ng, manakala Ridzuan diwakili peguam Eugene Thuraisingam dan Haziq Ika.

Hukuman bagi kesalahan membunuh adalah hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dirotan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan