Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SilkAir teruskan tempahan 31 pesawat Boeing 737 MAX

Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Jumaat (17 Mei) bahawa pesanan SilkAir bagi 31 pesawat Boeing 737 MAX kekal "tidak berubah" meskipun dua nahas udara yang menyebabkan kematian membabitkan kapal terbang tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
SilkAir teruskan tempahan 31 pesawat Boeing 737 MAX

CEO Singapore Airlines Goh Choon Phong memberi ucapan semasa majlis penghantaran Boeing 787-10 Dreamliner baru di South Carolina pada 25 Mar 2018. (Gambar: Randall Hill/REUTERS)

Diterbitkan : 17 May 2019 03:28PM Dikemas Kini : 17 May 2019 08:29PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) menyatakan pada Jumaat (17 Mei) bahawa pesanan SilkAir bagi 31 pesawat Boeing 737 MAX kekal "tidak berubah" meskipun dua nahas udara yang menyebabkan kematian membabitkan kapal terbang tersebut.

Anak syarikat penerbangan serantau SIA, SilkAir, mengendalikan enam jet 737 MAX sebelum khidmatnya digantung pada Mac ekoran nahas di Habsyah dan Indonesia.

Bercakap kepada para pelabur dan media susuli keputusan kewangan tahunannya, Ketua Eksekutif SIA Goh Choon Phong berkata syarikat penerbangan itu akan memberikan "tumpuan teliti" kepada perkembangan sofwe 737 MAX yang dikemas kini.

Boeing menyatakan pada Khamis bahawa ia sudah selesai melakukan kemas kini pada sofwenya itu.

Ia termasuk menangani masalah berhubung sistem pengendalian penerbangan - yang dianggap menyumbang kepada nahas kedua-dua pesawat Lion Air serta Ethiopian Airlines. Ia kini perlu mendapatkan kelulusan daripada pengawal selia Amerika Syarikat dan antarabangsa sebelum pesawat berkenaan boleh berkhidmat semula.

Encik Goh berkata SilkAir hanya akan menyambung semula penerbangan 737 MAX setelah pesawat tersebut disahkan selamat bukan sahaja oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) tetapi juga oleh pihak berkuasa penerbangan di negara-negara destinasi SilkAir.

Sebelum ini, SilkAir merancang untuk memindahkan 14,737 pesawat MAX 8 kepada syarikat penerbangan kos rendah Scoot namun penggantungan pesawat berkenaan menyebabkan pelan itu ditangguhkan.

Selain isu enjin Trent 100 TEN Rolls Royce yang membelenggu Scoot, SIA menyatakan penggantungan 737 MAX menyebabkan kekurangan kapasiti bagi SilkAir dan Scoot.

Demi mengurangkan masalah itu, SIA merancang untuk menyewa antara 10 dengan 12 Airbus A320 bagi penerbangan Scoot, kata Naib Presiden Kanan Kewangan SIA Stephen Barnes. Pesawat tersebut akan disewa sepanjang tempoh dua tahun kewangan akan datang.

Kumpulan SIA juga sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh sewa bagi beberapa pesawatnya untuk memenuhi kekurangan tersebut.

Syarikat penerbangan itu menyatakan kapasiti penumpangnya dijangka tumbuh sekitar enam peratus pada tahun kewangan 2019/2020.

Mengenai gabungan SilkAir dengan SIA, Encik Goh berkata sasaran melakukan sedemikian pada 2020 masih "mengikut jadual". Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada program transformasi tiga tahun SIA yang bermula pada 2018.   

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan