Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Silap tebang hutan Kranji, arahan 'pemeriksaan segera' dikeluarkan - Chan Chun Sing

Pemerintah sudah memberi arahan bagi "pemeriksaan susulan segera", dilakukan setelah kawasan hutan Kranji "silap ditebang".

Anggaran Waktu Membaca:
Silap tebang hutan Kranji, arahan 'pemeriksaan segera' dikeluarkan - Chan Chun Sing

Kawasan hutan di Kranji pada 17 Feb 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 22 Feb 2021 09:37PM Dikemas Kini : 22 Feb 2021 09:39PM

SINGAPURA: Pemerintah sudah memberi arahan bagi "pemeriksaan susulan segera", dilakukan setelah kawasan hutan Kranji "silap ditebang".

Demikian menurut Menteri Perusahaan dan Perdagangan Chan Chung Sing hari ini (22 Feb).

"Jelas bagi kami terdapat jurang dalam cara projek itu dikendalikan dan diselia, dan kita harus lakukan lebih baik lagi," kata beliau kepada para wartawan semasa satu taklimat media.

Minggu lalu, JTC Corp menyatakan tapak tanah yang diperuntukkan bagi pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan di Kranji "tersilap dibersihkan" sebelum satu kajian penilaian selesai dijalankan. "Amaran tegas" sudah diberikan kepada kontraktor terlibat.

"Sebaik sahaja mengetahuinya, JTC mengarahkan syarikat kontraktor supaya menghentikan semua kerja-kerja penebangan. Sejak itu, tiada kerja-kerja penebangan dijalankan di tapak itu dan kontraktor sudah diberikan amaran tegas," katanya minggu lalu.

Taman Inovasi Agro-Makanan itu adalah sebahagian daripada Daerah Eko Sungei Kadut. Sekitar 18 hektar tanah sudah diperuntukkan bagi fasa pertama pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan di sana.

Pemerintah sudah mengeluarkan tiga arahan susulan bagi tindakan segera dijalankan, menurut Encik Chan hari ini.

Agensi-agensi terlibat - JTC Corp dan Lembaga Taman Negara (NParks) - akan menjalankan siasatan-siasatan ke atas penebangan yang dilakukan di tapak itu.

JTC juga akan menjalankan siasatan dalaman untuk menentukan sama ada para pegawai awam dan kontraktor privet mematuhi proses-proses sedia ada dan meneliti bagaimana ia boleh "menyelia dengan lebih baik" agensi-agensi dan Pegawai Bertauliah (QP) sedang mereka melaksanakan projek.

QP adalah orang-orang yang terlibat menguruskan dan menyelaras projek binaan.

Sementara itu, NParks akan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pelanggaran Akta Taman dan Pokok dan Akta Hidupan Liar.

Bagaimanapun Pemerintah tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut sedang siasatan dijalankan untuk mengelak berlaku berat sebelah dalam menentukan keputusan, kata Encik Chan.

Beliau menambah Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan) Joseph Leong, yang tidak terlibat secara langsung dengan projek penebangan di tapak itu, akan dilantik untuk memimpin semakan bagi mengenal pasti "titik pembelajaran" bagi pengurusan projek, penyeliaan, pelaksanaan dan penyelarasan antara agensi.

Semasa melakukan semakan, Encik Leong akan mendapat akses kepada pandangan sektor awam, privet dan orang ramai, tambah Encik Chan.

Encik Chan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Khidmat Awam, telah mengarahkan agensi-agensi yang terlibat dalam projek pembersihan tanah itu supaya menjalankan pemeriksaan "segera" bagi memastikan penyeliaan projek dan proses pelaksanaan dijalankan secara teratur untuk mengelak "mengulangi sebarang kesilapan."

"Perkhidmatan Awam akan belajar daripada insiden ini dan memperbaikinya," kata beliau.

Menurut JTC, tapak tersebut tidak terletak berhampiran mana-mana "kawasan sensitif alam sekitar".

"Sebahagian besar kawasan itu terdiri daripada semak samun, dengan beberapa pokok besar (kebanyakannya Albizia). Ia sekarang ditumbuhi semua pokok Albizia bukan tempatan," menurut JTC.

PERKUKUH PROSES EIA

Kementerian Pembangunan Negara akan meneruskan usaha memperkukuh rangka kerja Penilaian Kesan Sekitaran (EIA), menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam taklimat hari ini.

EIA digunakan untuk menilai kemungkinan kesan sekitaran bagi sebarang pembangunan yang disarankan.

Pemerintah mempertingkat rangka kerja EIA pada bulan Oktober tahun lalu, kata Encik Lee, setelah mengadakan "rundingan rapat" dengan masyarakat pencinta alam sekitar dan rakan-rakan agensi serta bekerjasama untuk "melaksanakan perubahan-perubahan itu".

Peningkatan tersebut termasuk memperketat kajian-kajian alam sekitar menerusi garis panduan penilaian kesan kepelbagaian bio, penguatkuasaan di bawah Akta Hidupan Liar yang dipinda, mempertingkat kepakaran tempatan tentang perkara-perkara berkaitan ekologi dan membolehkan semua dapatan kajian sekitaran diakses masyarakat awam kecuali dalam kes-kes tertentu atas sebab keselamatan.

Semasa pertemuan dengan masyarakat pencinta alam sekitar tahun lalu, Pemerintah juga mengenal pasti dan berbincang dengan mereka cara-cara lain untuk memperkukuh proses EIA," kata Encik Lee.

Ini termasuk mewujudkan "gambaran lebih menyeluruh" tentang ekosistem seluruh negara dan ketersambungannya untuk "menimbangkan dengan lebih baik" bagaimana tapak-tapak tertentu terhubung dengan bahagian utama alam sekitar. Ia juga akan menjalankan kajian dasar bagi tapak-tapak tertentu "untuk memahami profil ekologi serta peranannya dalam ketersambungan ekologi".

"Dari segi menjalankan kajian sekitaran, kami sedang menyemak semula sama ada lebih baik untuk memusatkan pengurusan perundingan EIA daripada pemaju persendirian menguruskannya sendiri," kata Encik Lee.

"Saya ingin menekankan bahawa kami memandang sangat serius insiden ini," tambah beliau. "Keadaannya membimbangkan dan amat dikesali dan sangat membimbangkan bahawa ia sudah terjadi."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan