Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sijil khas ajar bahasa ibunda dilancar, bonus latihan S$2,000 turut ditawarkan

Satu sijil khas bagi mengajar bahasa ibunda di peringkat prasekolah akan dilancarkan tahun depan bagi melengkapi para pendidik dengan kemahiran lisan dan pengetahuan tentang budaya dan warisan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Oct 2018 04:37PM Dikemas Kini : 05 Oct 2018 09:05PM

SINGAPURA: Satu sijil khas bagi mengajar bahasa ibunda di peringkat prasekolah akan dilancarkan tahun depan bagi melengkapi para pendidik dengan kemahiran lisan dan pengetahuan tentang budaya dan warisan.

Ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee di Persidangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada Jumaat (5 Okt).

Menurut Encik Lee, bonus latihan bernilai S$2,000 juga akan diberikan kepada para guru sedia ada yang mengajar bahasa ibunda dan bakal menamatkan kursus tersebut dalam masa dua tahun akan datang.

Sebagai permulaan, kursus tidak wajib itu akan ditawarkan dalam bahasa Melayu dan Tamil sedang sektor pendidikan "memerlukan lebih ramai guru bahasa Melayu dan Tamil di peringkat prasekolah", menurut kenyataan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

"Kami berharap untuk menggalak lebih ramai guru pendidikan awal kanak-kanak yang berminat mengajar bahasa ibunda untuk menjalani latihan ini dan menjadi guru bahasa ibunda," kata Encik Lee kepada sekitar 1,500 pendidik di persidangan itu.

Tambah Encik Lee: "Amat menggalakkan melihat minat mendalam dan dedikasi para guru bahasa ibunda dan kami ingin terus menyokong tugas penting anda.

"Kami sudah memperuntukkan sehingga S$3 juta bagi tempoh dua tahun akan datang untuk menyokong bonus latihan bahasa ibunda dan pembangunan sumber Pendidikan Awal Bahasa Ibunda."

Buat masa ini, terdapat kursus untuk melatih guru prasekolah bahasa Cina sebelum mereka mula mengajar, seperti kursus-kursus Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) dan Latihan Sebelum Mula Bekerja.

Menurut ECDA, kursus serupa untuk menyokong pendidikan bahasa Cina serta bonus latihan akan dipertimbangkan.

SUMBER BAHASA IBUNDA BAGI TAJAKA AKAN DIHASILKAN

Sumber-sumber bahasa ibunda - seperti buku-buku, permainan dan panduan mengajar - akan dibangunkan untuk kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga empat tahun di tajaka.

Bahan-bahan rujukan itu, yang akan disediakan dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil, akan dirintiskan di prasekolah terpilih pada 2019 dan diperluaskan prasekolah lain pada 2020.

Daya usaha itu menyusuli perbincangan kumpulan fokus pada Ogos bersama sekitar 40 karyawan pendidikan awal kanak-kanak, yang kebanyakannya menyambut baik langkah tersebut, menurut Encik Lee.

Kempen kebangsaan selama tiga tahun juga dilancarkan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran awam tentang kerjaya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

"Memperkasakan pendidikan bahasa ibunda baru permulaannya saja," kata Encik Lee.

"Pada masa akan datang, kami ingin membangunkan sekumpulan guru pendidikan awal kanak-kanak yang mempunyai pelbagai kemahiran dan memperluaskan laluan kepimpinan untuk merangkumi spesialis yang bercita-cita untuk menyumbang kepada bidang kemahiran tertentu."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan