Images
  • Hup Heng Poultry
    Bangunan Hup Heng Poultry Industries Pte Ltd di Senoko. (Gambar: Google Street View)

Sijil halal syarikat ayam Hup Heng digantung 5 bulan sehingga 31 Okt

BERITAMediacorp: Sijil halal bagi sebuah pusat penyembelihan dan pembekal ayam tempatan, Hup Heng Poultry Industries Pte Ltd, sedang digantung selama lima bulan sehingga 31 Oktober ini.

Ini bermakna, Hup Heng tidak boleh lagi membekalkan daging ayam halal yang disembelih dan diproses oleh syarikat itu. Penggantungan tersebut sebenarnya berkuat kuasa sejak 1 Jun - bermakna sejak dua bulan lalu.

Hup Heng Poultry Industries dipercayai adalah salah satu daripada kurang 10 syarikat besar yang menyembelih dan memproses daging ayam halal di Singapura. Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengesahkan bahawa “buat masa ini syarikat Hup Heng tiada pensijilan halal dari MUIS”.

“Mereka (Hup Heng) tidak memenuhi syarat-syarat pensijilan (halal) kami, oleh itu buat masa ini mereka tiada pensijilan halal,” kata seorang jurucakap MUIS.

Penguasa ehwal Islam Singapura itu sebelum ini mengeluarkan surat pekeliling kepada sebahagian pemilik sijil halal tempatan memberitahu tentang penggantungan sijil halal Hup Heng. BERITAMediacorp dapat melihat sendiri surat pekeliling tersebut daripada sumber-sumber.

Surat itu antara lain menyebut: “Jika anda mendapatkan sebarang produk-produk berkenaan (ayam atau produk daging) atau item-item yang diproses dari Hup Heng, anda mungkin mahu mencari pembekal alternatif.”

HUP HENG ENGGAN BERI KOMEN

BERITAMediacorp juga sudah berkali-kali menghubungi syarikat Hup Heng, yang terletak di Senoko Crescent di Woodlands, untuk mendapatkan penjelasan serta bertanyakan apakah langkah-langkah yang sedang diambilnya untuk memperbetul keadaan dan mendapatkan kembali sijil halalnya.

Pihak Hup Heng pada mulanya meminta diberikan masa. Bagaimanapun ia akhirnya memutuskan untuk tidak memberikan jawapan balas kepada soalan-soalan kami.

Pemeriksaan kami dalam pada itu menunjukkan, syarikat Hup Heng Poultry Industries masih lagi disenarai di laman SingaporeHalalDirectory.com. Selain itu, ia juga menjual ayam di laman online Qoo10.sg di bawah tiga kategori berlainan, iaitu - Fresh Chicken, Kampong Fresh Chicken dan Non-Halal.


Petikan gambar dari laman Qoo10.

Laman Bloomberg turut mempunyai profil syarikat Hup Heng dan meletakkannya sebagai pengeluar, penyembelih dan pedagang ayam, ternakan, daging dan makanan laut. Syarikat itu diperbadankan pada tahun 1990 serta berpangkalan di Singapura.

PENJELASAN DARI KONSULTAN HALAL

Pihak kami juga menghubungi pakar dan konsultan halal veteran tempatan, Ustaz Azmi Abdul Samad, untuk mendapatkan pencerahan tentang proses penggantungan sijil halal terhadap sesebuah syarikat.

Ustaz Azmi, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HalalHub Consultants Pte Ltd, berkata lazimnya sijil halal sesebuah syarikat, digantung disebabkan pelanggaran syarat.

“Selalunya sebuah syarikat (yang sudah memiliki sijil) halal kalau mereka melanggar sebarang syarat, MUIS akan meminta penjelasan. Selepas itu MUIS akan bertindak bergantung kepada jenis syarat yang dilanggar, sama ada ia benar atau tidak benar dan tahap serius satu-satu kes. Dari itu, MUIS akan buat tindakan sama ada diberi amaran atau sebagainya,” jelas Ustaz Azmi.

Beliau menambah, pelanggaran syarat boleh bermaksud dari segi tadbir urus, operasi ataupun campur aduk produk yang halal dengan yang tidak halal.

Apabila ditanya tentang perbezaan antara sijil halal yang digantung dengan yang ditarik balik, Ustaz Azmi berkata secara umum beliau melihat kedua-duanya sebagai sama. Menurut Ustaz Azmi, biasanya selepas tamat tempoh sijil halal sesebuah syarikat digantung, ia akan diaudit sekali lagi.

“Pengalaman saya tengok kes-kes yang lalu, apabila mereka diaudit dan (didapati) sudah memperbetulkan perkara-perkara yang perlu dan memperbaiki keadaan, MUIS akan beri lagi sijil halal tersebut selepas tamat tempoh penggantungan,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.



Petikan gambar dari laman Singapore Halal Directory.

HUP HENG MASIH BOLEH JUAL AYAM HALAL YANG DIIMPORT - TAPI ADA SYARATNYA...

Meskipun tidak lagi dibenarkan menyembelih dan memproses daging ayam halal, Hup Heng dilaporkan masih boleh menjual daging ayam halal yang diimport daripada syarikat lain secara langsung - baik bagi bekalan ayam segar mahupun beku.

“Katakan pelanggan mereka nak ayam segar, selama ini ayam segar mereka (Hup Heng) sembelih sendiri. Jadi memandangkan mereka sudah tidak boleh sembelih ayam halal mereka terpaksa tempah (bekalan) ayam segar daripada syarikat yang lain, yang halal.

“Kalau sebelum ini mereka boleh buka (bungkusan) ayam beku yang diimport (dan mungkin) dipotong-potong jadi kiub ayam dan sebagainya. Tetapi memandangkan sijil halal mereka sudah digantung, mereka tak boleh potong sedemikian ayam halal,” ujar beliau.

Ustaz Azmi bagaimanapun menjelaskan bahawa syarikat itu boleh membekalkan ayam beku dalam karton asal. Tidak dibuka dan tidak dipotong, mengikut syarat-syarat yang sudah ditetapkan oleh MUIS.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HalalHub Consultants Pte Ltd, Ustaz Azmi Abdul Samad. (Gambar: Azmi Abdul Samad/Facebook)

TIDAK BOLEH PROSES AYAM HALAL

“Secara umum mereka tidak boleh memproses ayam halal. Tetapi kalau lakukan perdagangan (trading) dan sebagainya MUIS benarkan,” tambah beliau.

Langkah menggantung sijil halal Hup Heng itu, menurut Ustaz Azmi, menunjukkan MUIS serius dalam pemantauannya ke atas syarikat-syarikat yang tidak mematuhi syarat-syarat pensijilan halal.

Beliau memberitahu BERITAMediacorp, bagi para pelanggan daging ayam halal yang terdiri daripada masyarakat umum, mereka tidak begitu terjejas oleh penggantungan sijil halal Hup Heng. Ini memandangkan mereka mempunyai pilihan luas bagi daging ayam halal.

Namun, bagi syarikat-syarikat dalam sektor makanan dan minuman (F&B) dan katering, khususnya yang menyediakan hidangan halal, Ustaz Azmi menasihati mereka supaya lebih berhati-hati.

“Kalau mereka beli (daging ayam) daripada Hup Heng mereka kena pastikan ayam yang dibekalkan kepada mereka ada label. Label halal. Jadi kalau label halal tu bererti bukan label Hup Heng. Sebaliknya Hup Heng membekalkan daging ayam daripada label (syarikat) yang berbeza,” kata Ustaz Azmi. 

- BERITAMediacorp/nk

Top