Images
  • sidek saniff

Sidek Saniff dianugerah gelaran Datuk Seri

SINGAPURA: Mantan Menteri Negara Kanan Sidek Saniff akan menerima anugerah dan gelaran Datuk Seri sempena hari ulang tahun ke-81 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Abdul Rahman Abbas.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Encik Sidek di kalangan 877 individu yang akan menerima anugerah, darjah dan pingat dalam upacara yang bermula Sabtu (13 Jul) dan disambung pada Isnin hingga Rabu.

Sebanyak 14 anugerah itu membawa gelaran 'Datuk Seri' manakala 56 lagi membawa gelaran 'Datuk'.

Encik Sidek, mantan Anggota Parlimen dan Menteri Negara Kanan Pendidikan, akan dianugerahi Darjah Gemilang Pangkuan Negeri kehormat (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, menurut laporan itu lagi.

Bermula sebagai Anggota Parlimen pada tahun 1976, beliau menaiki tangga kepimpinan dan menjadi Menteri Negara Kanan Pendidikan dan kemudian Sekitaran dalam tempoh dari tahun 1996 hingga 2001. Encik Sidek bersara daripada politik pada tahun 2001.

Encik Sidek memainkan peranan penting di sebalik pelbagai gerakan membantu masyarakat Melayu/Islam Singapura, termasuk pembentukan Yayasan MENDAKI.

Di majlis yang sama nanti, Ketua Hakim Malaysia Maimun Tuan Mat akan dikurniakan anugerah tertinggi negeri itu, Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN).

- Agensi berita/TQ/tq

Top