Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sibuk beraya bukan alasan untuk tidak bersenam: AP Amrin Amin lancar siri Senaman Hari Raya

Sepanjang musim lebaran ini, pasti ramai di antara anda yang sibuk kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai, serta memenuhi undangan ke rumah terbuka. Pendeknya, banyak makan!

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang musim lebaran ini, pasti ramai di antara anda yang sibuk kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai, serta memenuhi undangan ke rumah terbuka. Pendeknya, banyak makan!

Namun berapa ramaikah di antara anda yang masih mengetepikan masa untuk bersenam?

"Kadang-kadang masa itu terhad untuk saya bersenam kerana saya bekerja," akui Cik Rosnani Mohd Jamil, seorang pegawai bank berusia 38 tahun.

Cik Rosnani Mohd Jamil.

Cik Rosnani mungkin tergolong di kalangan 35 peratus penduduk Melayu tempatan berusia antara 18 hingga 69 tahun, yang menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), didapati tidak mengamalkan kegiatan fizikal yang mencukupi.

Ini bermakna mereka gagal melakukan kegiatan fizikal bertahap sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu, berdasarkan panduan dari HPB.

Apatah lagi dalam musim perayaan ini di mana kebanyakan masa kini dipadatkan dengan kunjung-mengunjung. Pasti lebih sukar untuk mereka 'memerah keringat'.

Malah ada juga segelintir daripada kita yang mungkin menggunakan sambutan Aidilfitri sebagai alasan untuk tidak menjaga pemakanan, lebih-lebih lagi apabila dihidangkan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.

Gambar: Juadah Raya/Facebook

"Makan itu boleh makan tetapi kita perlu juga bersenam untuk membakar lemaknya," ujar Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kesihatan, Encik Amrin Amin sebagai peringatan kepada mereka yang beraya sakan.

Hal itu menjadi satu kebimbangan kerana gaya hidup sedantari atau kurang aktif ditambah pula dengan pemakanan kurang sihat boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Ini termasuk penyakit kencing manis yang membelenggu kira-kira separuh daripada penduduk Melayu di sini yang berusia 60 tahun ke atas.

SENAMAN HARI RAYA SETIAP AHAD DALAM SYAWAL

Oleh itu, bagi menggalak masyarakat Melayu/Islam mengamalkan corak hidup yang sihat dan aktif, HPB buat julung-julung kalinya mengadakan siri 'Senaman Hari Raya' buat para penduduk di serata negara.

Sebuah inisiatif kesihatan yang baru, Senaman Hari Raya secara beramai-ramai itu dilaksanakan selama empat Ahad berturut-turut pada bulan Syawal ini. Ia bermula dengan para penduduk kawasan utara di Kampung Admiralty pagi tadi (23 Jun).

Senaman Hari Raya. (Gambar: HPB) 

"Kita adakan sesi-sesi ini dekat dengan pasar-pasar kerana kita tahu masyarakat kita, terutamanya kaum ibu sedang bersiap-siap untuk menyiapkan juadah untuk rumah terbuka.

"Jadi sambil-sambil itu, (mereka) dapat bersenam sedikit sebelum nanti sibuk memasak atau jalan hari raya," jelas Encik Amrin tentang pemilihan lokasi bagi sesi senaman itu.

Cik Rosnani yang menyertai sesi aerobik bersama sekitar 70 penduduk lain, mengalu-alukan kegiatan seperti ini yang menurutnya, boleh disertai "semua orang...dari pelbagai bangsa dan tidak kira usia".

"BERAYA PUN PERAYA, TETAPI..."

Bagi Cik Faiza Sanip, seorang suri rumah berusia 49 tahun, faktor kurang disiplin diakui sebagai satu hambatan besar untuk bersenam dengan kerap.

Cik Faiza Sanip.

Namun melihat penyertaan ramai penduduk lain dalam sesi itu, ia seakan-akan memberinya satu suntikan semangat untuk meneruskan niat mengamalkan gaya hidup yang lebih baik.

"Ia sangat memberi saya semangat untuk kita. Beraya pun beraya, tetapi tetap kekalkan amalan gaya hidup sihat,"kongsi beliau.

Itulah semangat yang ingin dilihat Encik Amrin di mana amalan bersenam disebatikan dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu di sini.

"Contohnya, apabila ke pasar, kita dapat singgah sebentar untuk bersenam dan sebagainya kerana memanglah masa itu suntuk tetapi kalau kita ada peluang-peluang seperti ini, insya-Allah kita dapat teruskan amalan gaya hidup yang sihat," ulas beliau tentang cara-cara para penduduk Melayu boleh 'mencuri masa' untuk melakukan kegiatan aktif.

Lagi tiga sesi Senaman Hari Raya seperti itu akan diadakan setiap Ahad, sepanjang musim lebaran ini, setiap satu di Geylang Serai, Bukit Batok dan juga Tampines. Butirannya adalah seperti berikut:

•1 Julai 2018 di Wisma Geylang Serai
•8 Julai 2018 di Hab Keluarga (Blk 350 Bukit Batok St 34)
•15 Julai 2018, Hab One Tampines

Terdapat juga lebih 2,000 kegiatan fizikal yang ditawarkan secara percuma di merata Singapura sepanjang Julai nanti. Lungsuri https://www.healthhub.sg/events untuk maklumat lanjut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan