Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siapa kata rumah flat HDB tidak boleh dijadikan gelanggang 'skateboard'? Ini buktinya...

Bagi kebanyakan remaja, untuk bermain papan lungsur mereka perlu ke taman-taman atau gelanggang khas untuk permainan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi kebanyakan remaja, untuk bermain papan lungsur mereka perlu ke taman-taman atau gelanggang khas untuk permainan tersebut.

Namun bagi keluarga Encik Fandy Razak, bahagian dalam rumahnya sendiri dijadikan sebuah taman lungsur mini untuk anak-anaknya bermain semasa cuti sekolah bulan Jun ini.

Hasil daya kreatifnya sendiri, ayah dua orang putera, Aedan Affandy Razak berusia 11 tahun dan Matin Affandy Razak, 8 tahun itu membina tanjakan menggelungsur atau 'ramp' yang boleh dikatakan besar - 1.6 meter kali 1.2 meter - di dalam rumahnya itu khas untuk anak-anaknya.

Menurut Encik Fandy, beliau mengambil masa yang singkat dan membelanjakan sekitar S$200 untuk membina tanjakan tersebut, beberapa tahun lalu.

Ini kerana, sejak anak-anaknya berusia seawal tiga dan lima tahun lagi, mereka sudahpun didedahkan dengan sukan-sukan lasak.

Untuk menjadikan rumahnya itu 'taman menggelungsur mini' beliau juga perlu membuat penyesuaian dan mengalihkan perabot dan barangan seperti kerusi meja dalam rumahnya.

"Jadi saya fikir, kalau saya nak bawa mereka ke taman menggelungsur di East Coast, atau di Kallang hari-hari mungkin tidaklah. Ia adalah amat sukar untuk buat begitu," kata Encik Fandy.

TIADA ADUAN BISING SEJAUH INI

Prihatin dengan jiran tetangga, lebih-lebih lagi memandangkan ramai yang sedang bekerja dari rumah di musim pandemik sekarang, Encik Fandy memastikan anak-anaknya dapat bermain dengan bertanggungjawab.

Mujur buat masa ini, beliau sekeluarga tidak mendapat sebarang aduan bising daripada jiran-jirannya, kata Encik Fandy.

Ciptaan ayah tersayang itu sangat dibanggakan anak sulung, Aedan Affandy Razak yang turut berkongsinya dengan rakan-rakannya.

"Saya lebih selesa menggelungsur di rumah berbanding di luar. Jadi saya lebih sering menggelungsur di rumah," kata Aedan, yang kini menuntut di darjah lima.

Bermain 'skateboard' merupakan antara pelbagai kegiatan yang dijalankan Encik Fandy seorang jurugambar dan isterinya Cik Wendy Yeo seorang guru sekolah rendah demi menghabiskan masa bersama anak-anak semasa musim cuti sekolah ini.

GEMAR LAKUKAN AKTIVITI RIADAH SEKELUARGA

Untuk cuti sekolah bulan Jun sahaja, mereka sekeluarga turut melakukan aktiviti riadah bersama-sama seperti memancing dan berbasikal.

(Gambar: Fandy Razak)

Meskipun Encik Fandy sendiri tidak menggemari sukan memancing, beliau kadang-kadang mengalah dan mengikutkan kehendak anak-anaknya.

Bagi Aedan, sukan papan lungsur tetap menjadi cinta pertamanya. Namun ada satu lagi sukan yang Aedan harap dapat mencuba.

"Saya mahu mencuba bermain golf sebab sebelum ini, semasa ayah saya membuat penggambaran beliau melakukan golf dan memberitahu kami semua tentang itu. Ia membuatkan kami cemburu dan mahu mencubanya juga!" kata Aedan.

IMBANGI MASA ULANGKAJI DAN BERMAIN

Yang pasti, semua itu dilakukan dengan penuh berjadual yang termasuk masa belajar, kata Cik Yeo.

"Jumlah masa keseluruhan untuk ulangkaji dan membaca ialah lima jam. Masa untuk bermain dan menonton televisyen sekitar empat jam. Jadi ia hanya lebih satu jam, tidak teruk sangat," kata Cik Yeo.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Fakta yang tidak kurang menarik ialah - semuanya dijadualkan sendiri oleh anak sulungnya semasa cuti sekolah ini dan ini diharap dapat memupuk sifat-sifat positif terhadap diri Aedan.

Cik Yeo menambah: "Dengan cara ini, dia akan menjadi lebih bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang dia rancangkan untuk hari itu dan pada masa yang sama, menjadi contoh kepada adiknya."

Sama ada aktiviti itu dilakukan di dalam ataupun di luar rumah, yang pasti, kesejahteraan anak-anak mereka senantiasa menjadi keutamaan bagi Encik Fandy dan Cik Yeo.

"Saya inginkan anak-anak saya untuk kurangkan sifat malas ataupun membuang masa pada skrin untuk terlalu lama," kata Encik Fandy.

Menyokong suaminya, Cik Yeo turut berpendapat: "Saya rasa penting untuk mereka keluar bermain, berlari, mengalami sinar matahari - Vitamin D, dan kekalkan minda yang sihat dan aktif." 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan