Images

Siap sedia bagi kemungkinan lebih banyak langkah bendung COVID-19: Lawrence Wong

SINGAPURA: Kita perlu bersiap sedia secara mental bagi kemungkinan lebih banyak langkah dilaksanakan untuk membendung satu lagi penularan kes COVID-19.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata demikian sambil menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama bagi mengawal keadaan.

Berucap semasa upacara tamat pengajian Politeknik Ngee Ann pada Isnin (3 Mei), Encik Wong turut melancarkan sebuah program oleh institusi tersebut yang bertujuan mempersiapkan para pelajar untuk kerjaya mereka pada masa depan yang tidak menentu.

Program Haluan Pembelajaran Dikhususkan (PLP) akan membolehkan para pelajar Ngee Ann untuk meraih kepakaran dalam bidang berlainan sebagai tambahan kepada kursus pilihan mereka.

Misalnya, pelajar kursus perniagaan boleh memilih untuk kursus kecil dalam keselamatan siber.

Sekitar 10 kursus dalam bidang membangun seperti analisa data ditawarkan dalam percubaan perintis sejak bulan lalu.

Sebagai permulaan, lebih 1,000 pelajar dijangka akan meraih manfaatnya.

Ia dijangka dilaksanakan pada tahun akademik 2023 untuk semua pelajar diploma sepenuh masa.

"Pada suatu ketika, pandemik ini akan berlalu. Ekonomi global akan pulih dan terdapat banyak peluang di masa hadapan. Kemahiran-kemahiran tambahan ini akan terus memperkukuhkan daya tahanan kerjaya, membolehkan mereka bergerak dengan lebih mudah kepada sektor-sektor membangun lain dan membantu merebut peluang dalam ekonomi masa hadapan," kata Encik Wong. 

- CNA/SY/tq

Top