Images
  • singapore airlines
    Gambar fail pesawat Singapore Airlines. (Gambar: Singapore Airlines/Facebook)

SIA pecat juruterbang SIA yang gagal ujian alkohol di Melbourne tahun lalu

SINGAPURA: Seorang juruterbang Singapore Airlines (SIA) yang gagal ujian alkohol sebelum satu penerbangan di Melbourne tahun lalu sudah dipecat, kata seorang jurucakap dari syarikat penerbangan itu pada Khamis (10 Jan).

Insiden yang berlaku pada September itu menyebabkan penerbangan SQ247 ke Wellington dan penerbangan pulangnya, SQ248, terpaksa dibatalkan.

"Singapore Airlines boleh mengesahkan bahawa juruterbang yang gagal ujian alkohol di Melbourne pada 15 September 2018 sudah ditamatkan perkhidmatannya dengan SIA," kata jurucakap tersebut, sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

SIA menambah, ia sedang mengkaji semula langkah-langkah baru dengan pihak-pihak berkepentingan lain seperti Kesatuan Sekerja Juruterbang untuk mencegah insiden serupa daripada berulang.

Langkah-langkah itu termasuk ujian rambang sebelum penerbangan serta laporan oleh individu dan rakan setugas.

Penguasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) menjalankan satu ujian dadah dan alkohol secara rambang pada Sabtu pagi pada September ke atas semua anggota kru yang mengendalikan penerbangan SQ247.

Juruterbang itu didapati mempunyai paras alkohol lebih tinggi daripada yang sewajarnya dan gagal ujian tersebut.

Arahan Pengemudian Udara Singapura menetapkan bahawa para juruterbang tidak sepatutnya mengendalikan penerbangan di bawah pengaruh sebarang bahan psikoaktif - termasuk alkohol, opioid dan sedatif - yang boleh menyebabkan mereka tidak berupaya menjalankan tugas dengan cara yang selamat dan betul.

Para pesalah berdepan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum S$100,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Kru penerbangan SIA dilarang daripada meminum alkohol 10 jam sebelum tugas penerbangan mereka dan perlu menjalani sebarang ujian dadah dan alkohol yang dijalankan oleh pihak berkuasa relevan.

Selain itu, para juruterbang SIA menjalani pemeriksaan perubatan yang ketat setiap tahun bagi memastikan mereka sesuai mengendalikan sebuah pesawat, kata jurucakap itu.

Beliau menambah: "Mereka juga digalak untuk mengetengahkan sebarang keprihatinan berhubung kesejahteraan dan keselamatan para pelanggan kami, anggota kru dan pesawat yang mereka kendalikan.

"Oleh kerana keselamatan para pelanggan dan kru kami adalah kepentingan paling utama, penyalahgunaan bahan atau alkohol tidak akan diterima."

Mediacorp sudah menghubungi Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) untuk mendapatkan komen. 

- CNA/EM/ai

Top