Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA mohon maaf atas kekeliruan tentang kuarantin bagi penumpang VTL ke M'sia

Singapore Airlines (SIA) hari ini (23 Nov) memohon maaf atas sebarang kekeliruan disebabkan kiriman emel kepada para pelanggan, yang mengandungi maklumat tentang kuarantin bagi para penumpang yang menaiki pesawat Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) ke Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA mohon maaf atas kekeliruan tentang kuarantin bagi penumpang VTL ke M'sia

Gambar: AFP

Diterbitkan : 23 Nov 2021 07:40PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 07:42PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) hari ini (23 Nov) memohon maaf atas sebarang kekeliruan disebabkan kiriman emel kepada para pelanggan, yang mengandungi maklumat tentang kuarantin bagi para penumpang yang menaiki pesawat Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) ke Malaysia.

Di bawah aturan VTL, para penumpang yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani kuarantin setibanya di destinasi.

Namun, para pelanggan yang membuat tempahan penerbangan VTL ke Malaysia pada 29 November menerima emel pagi tadi tentang ujian COVID-19 dan kuarantin setibanya di situ.

Emel itu menyatakan terdapat "perubahan" kepada makluman-makluman perjalanan.

"Para penumpang dikehendaki menjalani pemeriksaan perubatan dan kuarantin sepanjang tujuh atau 10 hari setibanya di destinasi dengan kosnya ditanggung sendiri," menurut emel itu.

Ia juga menyatakan bahawa syarat tersebut tidak dikenakan ke atas para penumpang yang lengkap divaksin dengan surat kelulusan kuarantin di rumah atau untuk mereka yang melakukan perjalanan ke Langkawi.

Menerusi pemeriksaan Mediacorp mendapati para penumpang pesawat VTL SQ108 dan SQ8582 antara mereka yang menerima emel itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SIA berkata emel itu adalah "kemas kini automatik setiap kali terdapat perubahan kepada mana-mana bahagian dalam nasihat perjalanan ke Malaysia".

"Perubahan-perubahan yang dinyatakan dalam emel itu, termasuk kuarantin, hanya dikenakan kepada para penumpang yang membuat perjalanan dengan menaiki pesawat bukan VTL," kata jurucakap itu. "Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan."

SIA menambah bahawa ia akan mengemas kini nasihat perjalanannya untuk menjelaskan bahawa para penumpang penerbangan VTL boleh memasuki destinasi tanpa perlu menjalani kuarantin.

AturanVTL antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula pada 29 November.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan