Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA lancar penerbangan musiman ke Vancouver; pertama ke Kanada sejak 2009

Singapore Airlines (SIA) akan melakukan penerbangan empat kali seminggu ke Vancouver di Kanada dan Seattle di Amerika Syarikat dari 2 Disember hingga 15 Februari tahun depan, menurut SIA pada Isnin (11 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
SIA lancar penerbangan musiman ke Vancouver; pertama ke Kanada sejak 2009

Gambar: AFP

Diterbitkan : 11 Oct 2021 09:57PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 09:59PM

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) akan melakukan penerbangan empat kali seminggu ke Vancouver di Kanada dan Seattle di Amerika Syarikat dari 2 Disember hingga 15 Februari tahun depan, menurut SIA pada Isnin (11 Okt).

Mengumumkan khidmat musiman itu, SIA menyatakan bahawa dua daripada penerbangan mingguan Seattle-Vancouver-Singapura itu akan menyediakan khidmat laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL), sekali gus membolehkan penumpang yang layak memasuki Singapura tanpa menjalani kuarantin COVID-19.

Penjualan tiket melalui pelbagai saluran pengedaran akan bermula pada 12.00 tengah hari Selasa.

SIA menggantung khidmat penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dengan Vancouver menerusi Seoul bagi tempoh masa yang tidak pasti pada 25 April 2009, sekali gus menghentikan khidmat penerbangan lebih dari 20 tahun ke Kanada.

Bagi khidmat musiman ini, pesawat SQ28 akan berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada 9.15 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver pada 7.30 pagi waktu tempatan. Selepas itu, ia akan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma pada 8.40 pagi dan mendarat pada 9.30 pagi waktu tempatan.

Pesawat SQ29 yang menyediakan khidmat penerbangan dua kali seminggu di bawah VTL akan berangkat dari Seattle pada 11.00 pagi dan tiba pada 11.45 pagi di Vancouver, sebelum berlepas lagi pada 1.15 tengah hari untuk mendarat di Singapura pada 10.05 malam pada keesokan harinya.

SIA juga akan mengendalikan pesawat SQ27 yang menyediakan khidmat dua kali seminggu Seattle-Vancouver-Singapura bagi penumpang yang tidak layak memasuki Singapura di bawah aturan VTL.

LALUAN SAN FRANCISCO AKAN DIJADIKAN VTL

Mulai 20 Oktober, syarikat penerbangan tersebut juga akan menukar khidmat penerbangan langsung dari San Francisco ke Singapura kepada khidmat VTL. Tiket sudahpun mula dijual.

Pesawat SQ34 akan berlepas dari Singapura pada 6.40 petang dan mendarat di San Francisco pada 7.05 malam. Pesawat SQ33 pula akan berangkat pada 10.05 malam sebelum tiba di Singapura dua hari kemudian pada 5.45 pagi.

"SIA akan terus memantau permintaan bagi perjalanan udara dan membuat penyesuaian yang sewajarnya," kata Naib Presiden Kanan Perancangan Pemasaran SIA Joann Tan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan