Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SIA dinamakan syarikat penerbangan terbaik Anugerah Skytrax

Syarikat penerbangan negara, Singapore Airlines (SIA) dinobatkan sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia. Kali terakhir ia disenaraikan di tempat pertama adalah pada 2008.

Anggaran Waktu Membaca:
SIA dinamakan syarikat penerbangan terbaik Anugerah Skytrax

Pesawat A350-900ULR. (Gambar: Singapore Airlines)

Diterbitkan : 18 Jul 2018 09:09AM Dikemas Kini : 18 Jul 2018 09:13AM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan negara, Singapore Airlines (SIA) dinobatkan sebagai syarikat penerbangan terbaik di dunia. Kali terakhir ia disenaraikan di tempat pertama adalah pada 2008.

Kejayaan tersebut diraih di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2018 yang diadakan di London.

SIA juga mencapai keunggulan dalam tiga kategori lain, iaitu syarikat penerbangan terbaik di Asia, penerbangan kelas pertama terbaik di dunia dan tempat duduk dalam pesawat terbaik bagi penerbangan kelas pertama.

Anugerah itu berdasarkan tinjauan yang dilakukan ke atas lebih 20 juta penumpang. Dalam tinjauan tersebut, mereka menilai prestasi lebih 300 syarikat penerbangan antara bulan Ogos 2017 hingga Mei tahun ini.

Ini adalah kali keempat SIA dinamakan sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia oleh firma penyelidikan yang berpangkalan di London itu selepas disenaraikan di tempat pertama pada 2004, 2007 dan 2008.

"Satu faktor utama bagi pelanggan adalah khidmat yang konsisten dan ini terbukti satu aset bagi Singapore Airlines yang mencatat mata tinggi bagi produk dan khidmatnya," kata CEO Skytrax Edward Plaisted.

Qatar Airways, yang berada di tempat pertama tahun lalu, kini jatuh ke tangga kedua, diikuti syarikat penerbangan Jepun
ANA.

AirAsia pula dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia buat kali kesepuluh berturut-turut.

Anugerah Skytrax disifatkan sebagai Anugerah Oscar bagi Industri Penerbangan. Ia merupakan penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan yang antara lainnya mengukur piawaian terdiri daripada 49 petunjuk prestasi utama.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan