Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shell didenda S$400,000 berkaitan kebakaran Pulau Bukom

Gergasi minyak, Shell, didenda S$400,000 berkaitan insiden kebakaran yang berlaku di loji penapisan minyak Pulau Bukom pada 2015, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (8 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Shell didenda S$400,000 berkaitan kebakaran Pulau Bukom

Loji Shell di Pulau Bukom (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 08 Jan 2019 06:57PM Dikemas Kini : 08 Jan 2019 06:58PM

SINGAPURA: Gergasi minyak, Shell, didenda S$400,000 berkaitan insiden kebakaran yang berlaku di loji penapisan minyak Pulau Bukom pada 2015, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (8 Jan).

Kebakaran itu menyebabkan enam pekerjanya cedera, termasuk dua orang yang masing-masing mengalami kelecuran sehingga 50 dan 70 peratus.

Pada 21 Ogos 2015, dua kumpulan pekerja secara serentak menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan projek bagi satu unit penyulingan minyak mentah di loji penapisan itu, menurut MOM.

Kumpulan pertama sedang menjalankan kerja panas di atas perancah. Untuk melakukan kerja itu, mereka menggunakan sebuah pemotong nyala dari silinder oksiasetilena untuk memotong dan membuka paip-paip yang dipasang sebelum ini.

Kumpulan pekerja lain pula menjalankan kerja-kerja penyejukan pada garis pelarut di lantai. Ini melibatkan pembuangan satu sambungan kepada injap (valve) serta menyambung satu hos kepada injap untuk menyalirkan sisa-sisa hidrokarbon mudah terbakar dalam talian paip di pit berdekatan.

"Apabila seorang pekerja membuka injap untuk memulakan proses penyaliran, wap-wap mudah terbakar dari penyaliran hidrokarbon terkena percikan api dari kerja-kerja satu lagi kumpulan," menurut MOM.

Kebakaran tercetus walaupun pekerja itu dengan pantas menutup injap tersebut selepas diberitahu supaya berbuat demikian.

"KEGAGALAN SISTEMIK"

Kebakaran ditangani dan dipadamkan dalam tempoh 30 minit oleh Pasukan Tindakan Kecemasan Bukom.

"Siasatan mendapati bahawa ada kegagalan sistemik dalam kesilapan Shell untuk memeriksa sekiranya kerja-kerja berlainan boleh dilakukan secara serentak di tempat yang sama," tambah MOM.

Kerja-kerja penyejukan dan panas dijalankan oleh dua kumpulan itu di tempat sama tanpa sebarang penyelarasan. Ini menyebabkan wap-wap mudah terbakar dari kerja-kerja penyejukan mula menyala selepas terkena percikan-percikan dari kerja-kerja pemanasan.

Shell didakwa kerana gagal melaksanakan langah-langkah pengawalan bagi memastikan kerja-kerja berlainan dapat dijalankan di loji penapisan itu.

Pengarah Jabatah Bahaya Utama MOM, Go Heng Huat berkata bahawa loji penapisan berkenaan sangat berbahaya dan perlu diuruskan dengan baik langkah-langkah keselamatan dan pengurangan risiko.

"Nyawa para pekerja dan orang ramai terancam kerana tiada langkah-langkah mencukupi," kata Encik Go.

"Meskipun tiada yang terkorban dalam insiden itu, padahnya mungkin lebih teruk."

Tapak Pulau Bukom, kilang terbesar milik Shell, mengendalikan 500,000 tong minyak sehari dan dilengkapi dengan sebuah loji pencerna petrokimia yang menjana lebih 900,000 tan etilena setahun.

Pada September 2011, seramai 100 ahli bomba mengambil masa selama hampir dua hari untuk memadamkan kebakaran. Dan kilang tersebut terpaksa ditutup.

Seorang anggota bomba cedera manakala lima lagi mengalami kelesuan haba dan otot kejang, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura ketika itu.

Pada Disember 2017, satu lagi kebakaran berlaku di kemudahan Pulau Bukom Shell. Tiada yang dilaporkan cedera dalam insiden itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan