Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi: Bincang dengan anak-anak setiap hari supaya faham Islam sebenar

Cendekiawan Islam terkemuka, Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi menekankan pentingnya ajaran agama Islam yang mengutamakan sifat ihsan disebarluaskan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cendekiawan Islam terkemuka, Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi menekankan pentingnya ajaran agama Islam yang mengutamakan sifat ihsan disebarluaskan.

Ini merupakan teras ceramah beliau berjudul 'Respon kepada Penyalahtafsiran Islam: Peranan Asatizah dan Masyarakat Lebih Luas', yang dihadiri sekitar 400 orang termasuk asatizah dan para pelajar.

Shaykh Muhammad, seorang sarjana Islam dari Syria yang disenarai sebagai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia, ialah salah seorang pemimpin Islam yang lantang membidas kumpulan pengganas ISIS.

Beliau juga pernah menerbitkan sebuah buku yang membidas ideologi kumpulan tersebut.

Dalam dunia hari ini, Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi percaya, setiap anggota Muslim - bukan hanya asatizah, bertanggungjawab untuk menyebarkan pemahaman yang betul tentang Islam.

Ini termasuk memberi bimbingan dan amaran kepada anak-anak tentang ajaran-ajaran Islam yang tidak tepat yang disebarkan menerusi internet.

AJAR KANAK-KANAK SEKOLAH SIFAT IHSAN

Malah beliau menyarankan perbincangan dijadikan satu amalan seharian dengan anak-anak, malah jiran dan orang sekeliling supaya mereka memahami ajaran Islam sebenar.

"Kanak-kanak di sekolah misalnya, beritahu mereka tentang sifat ihsan agama Islam, keindahan Islam, layanan teradap orang bukan Islam dan hubungan harmoni dalam masyarakat, tanggungjawab orang Islam dalam masyarakat berbilang agama. Ini adalah langkah pencegahan sebelum mereka terdedah dengan maklumat yang tidak benar," kata Shaykh Al-Yaqoubi.

Menurutnya, kekacauan yang berlaku hari ini, yang dilakukan oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pembela agama Islam, berpunca daripada kejahilan kompleks.

Kejahilan seperti itu diburukkan lagi apabila mereka mendakwa mereka tahu tentang agama tetapi sebenarnya tidak sama sekali.

Sebaliknya kejahilan tersebut menjadi asas pelampauan dan pengganasan.

BERPURA-PURA SEBAGAI SALAFI

"Kumpulan yang saya sifatkan sebagai 'neo Salafi', saya menggunakan panggilan ini kerana mereka berpura-pura sebagai Salafi tetapi mereka tersasar daripada ajaran sarjana terdahulu.Oleh itu kami sepatutnya bangga sebagai Sunni yang mewakili ajaran Islam aliran utama - empat mazhab yang menjadi pengikut kitab Allah dan sunnah Nabi (saw)," katanya.

Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi berada di Singapura atas undangan Kumpulan Pemulihan Keagamaan RRG.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan