Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugan beri amaran: Jangan mudah puas hati tangani isu ketidaksamarataan

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam memberi amaran terhadap sikap mudah berpuas hati dalam menangani isu ketidaksamarataan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Apr 2018 05:02PM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 10:44PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam memberi amaran terhadap sikap mudah berpuas hati dalam menangani isu ketidaksamarataan (inequality).

Menurut beliau ia adalah salah satu isu serius yang sedang dihadapi Singapura hari ini.

Bercakap di sebuah acara Palang Merah Singapura hari ini (20 Apr), Encik Shanmugam berkata jurang ketidaksamarataan perlu ditangani oleh Pemerintah dan juga menerusi usaha masyarakat.

Memberikan permulaan baik dalam kehidupan kanak-kanak akan dapat membantu mengecilkan jurang ketidaksamarataan, kata Encik Shanmugam. Lantaran itu, Pemerintah akan menggandakan perbelanjaan dalam sektor pendidikan prasekolah kepada S$1.7 bilion dan membuka lagi 40,000 pusat jagaan kanak-kanak menjelang tahun 2022.

"Bermula pada waktu bayi dilahirkan, sudah ada jurang," kata Encik Shanmugam. "Jurang tersebut semakin luas disebabkan perbezaan antara keluarga - maka itu, ketidaksamarataan akan berlaku menerusi pelbagai cara tanpa disedari."

Beliau menambah prinsip Singapura adalah untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukannya, di samping memelihara teras kejayaan negara: Pendidikan, kerja keras, disiplin dan keutuhan.

Encik Shanmugam berkata demikian di Hab Tampines One semasa pelancaran Kelab Cilik Palang Merah, iaitu peluasan gerakan Palang Merah Singapura bagi kanak-kanak berusia lima dan enam tahun. Ia bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran pertolongan cemas.

Menurut beliau, program seperti itu menerapkan asas bagi sebuah masyarakat baik budi yang bersatu padu, bersifat ihsan kepada mereka yang kurang bernasib baik serta mengurangkan ketidaksamarataan.

Ucapan beliau itu dibuat dua bulan setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi respons kepada soalan yang dibangkitkan di Parlimen oleh AP GRC Ang Mo Kio, Gan Thiam Poh, sama ada jurang pendapatan menjadi semakin luas dalam tempoh 10 tahun lalu dan sama ada sebuah jawatankuasa silang kementerian perlu ditubuhkan untuk menanganinya.

Encik Shanmugam berkata isu ketidaksamarataan adalah masalah global, namun ia lebih mencabar di Singapura.

"Globalisasi itu baik secara keseluruhannya - tapi cubalah katakan demikian kepada orang yang kehilangan pekerjaan," kata beliau memberikan senario. Lantaran itu "kita mesti membantu mereka yang terjejas", tekan beliau.

"Dalam sebuah negara seperti Singapura di mana orang yang paling kaya dan orang yang paling miskin tidak berada jauh lebih daripada 15 minit apabila memandu, ketidaksamarataan boleh dilihat jelas oleh semua orang."

Encik Shanmugam berkata Singapura menunjukkan pencapaian yang agak baik, sambil merujuk kepada tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2015.

Tinjauan itu mendapati sekitar 14 peratus mereka yang dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah di Singapura boleh naik ke tangga 20 teratas, berbanding 7.5 peratus di Amerika Syarikat dan sembilan peratus di Britain.

Sekalipun demikian, Encik Shanmugam menegaskan bahawa tiada ruang untuk mudah berpuas hati, sambil menambah Pemerintah perlu terus berusaha untuk meraih kepercayaan. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan