Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam puji ibu 5 anak titipan ini atas kerja amal 'peran contoh'

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam memuji sumbangan dan melahirkan penghargaannya kepada penduduk Yishun, Cik Sarimah Amat, 53 tahun, atas kerja-kerja amalnya kepada para penduduk di kawasan tersebut serta masyarakat yang lebih luas.

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam puji ibu 5 anak titipan ini atas kerja amal 'peran contoh'

Cik Sarimah Amat ketika bermain-main dengan cucunya di flatnya di Yishun. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam memuji sumbangan dan melahirkan penghargaannya kepada penduduk Yishun, Cik Sarimah Amat, 53 tahun, atas kerja-kerja amalnya kepada para penduduk di kawasan tersebut serta masyarakat yang lebih luas.

“Beliau melakukan kerja amal yang begitu banyak dan melakukannya dengan seikhlas-ikhlasnya,” kata Encik Shanmugam dalam catatan Facebooknya pada Rabu (30 Dis).

Encik Shanmugam, yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon, turut mendedahkan dalam catatan tersebut bahawa Cik Sarimah dipilih sebagai Yishunite of the Year atau Penduduk Teladan Yishun Tahun Ini pada Oktober lalu.

Anugerah itu adalah sebahagian daripada kempen Majlis Bandaran Nee Soon untuk mengiktiraf sumbangan luar biasa para penduduknya.

Antara sumbangan tidak ternilai Cik Sarimah yang disebut oleh Encik Shanmugam adalah peranannya dalam menggerakkan dan menjayakan inisiatif masyarakat Yishun 71 yang ditubuhkan tahun ini bagi membantu warga tua dan keluarga-keluarga yang memerlukan.

Kumpulan kebajikan jiran tetangga itu menggembleng tenaga untuk menghantar makanan dan barang dapur serta mendampingi mereka yang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Selain kerja-kerja amal, Yishun 71 juga kerap melakukan kegiatan untuk mengeratkan silatulrahim sesama jiran seperti mengayuh basikal pada sebelah malam dan membersihkan ruang-ruang awam di estet-estet perumahan.

Cik Sarimah benar-benar tidak mengenal erti penat, puji Encik Shanmugam. Sedang beliau menabur bakti di Yishun dan merata Singapura – bahkan di luar negara juga menerusi Project Pencil – Cik Sarimah juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu titipan.

Cik Sarimah Amat dan pasukan Yishun 71 didampingi AP GRC Nee Soon, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim ketika membersihkan kawasan awam di sekitar Yishun Street 71. (Gambar: Yishun Seventy One/Facebook)

Beliau sudah menjadi ‘ibu angkat’ kepada lima anak titipan sepanjang tempoh lapan tahun sehingga ke hari ini dan tanggungjawab sebagai ibu angkat itu dianggapnya sebagai satu “misi penting” dalam kehidupannya.

Berkongsi lanjut, Encik Shanmugam berkata anak titipan Cik Sarimah pernah dianiaya, diabaikan atau ditinggalkan begitu saja. Dalam kes-kes tertentu, ibu bapa mereka menghidap penyakit atau masalah kesihatan mental, atau meringkuk dalam penjara.

Cik Sarimah Amat menguruskan usaha-usaha amal Project Pencil Singapore dan inisiatif jiran tetangga Yishun 71. (Gambar: Project Pencil Singapore/Facebook)

Cik Sarimah Amat menguruskan usaha amal Project Pencil Singapore dan inisiatif jiran tetangga Yishun 71 sekali gus. (Gambar: Project Pencil Singapore/Facebook)

Mengakhiri catatannya, Encik Shanmugam menyifatkan kisah kehidupan Cik Sarimah sebagai perjalanan hidup yang “penuh inspirasi”.

“Terima kasih Puan Sarimah! Anda adalah peran contoh semangat kemanusiaan, belas kasihan dan sifat penyayang, dan sifat baik budi anda mendorong kita untuk sama-sama berbuat baik,” kata Encik Shanmugam.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan