Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam: Penjara S'pura teroka wadah digital bantu bekas pesalah lebih mudah pulang ke pangkuan masyarakat

Jabatan Penjara Singapura (SPS) sedang meneroka penggunaan kaedah kaunseling melalui video dan aplikasi mudah alih untuk membantu bekas pesalah pulang ke pangkuan masyarakat dengan lebih mudah lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam: Penjara S'pura teroka wadah digital bantu bekas pesalah lebih mudah pulang ke pangkuan masyarakat

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 11 Jan 2019 01:03PM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 01:06PM

SINGAPURA: Jabatan Penjara Singapura (SPS) sedang meneroka penggunaan kaedah kaunseling melalui video dan aplikasi mudah alih untuk membantu bekas pesalah pulang ke pangkuan masyarakat dengan lebih mudah lagi.

Ia membentuk sebahagian daripada pendekatan tiga serampang yang diambil oleh agensi tersebut dalam usahanya untuk memperluaskan program-program yang berteraskan masyarakat: Mempertingkatkan amalan-amalan dan pemulihan dalam masyarakat, memperkukuhkan penjagaan selepas dibebaskan dari penjara, dan memanfaatkan sokongan keluarga dan masyarakat.

"Bagi memudahkan proses integrasi semula bekas pesalah dengan masyarakat, kami akan memperluaskan program-program berteraskan masyarakat," Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata demikian pada Jumaat (11 Jan) semasa melakukan lawatan ke Rumah Tumpangan Selarang.

Strategi pertama untuk mempertingkatkan amalan-amalan dan pemulihan masyarakat merangkumi penggunaan data untuk menilai pelbagai jenis campur tangan dan pencegahan yang diperlukan setiap pesalah serta penggunaan wadah-wadah digital seperti sesi kaunseling melalui video.

SPS menyatakan pihaknya sedang meneroka sesi kaunseling melalui video untuk melengkapi cara komunikasi sedia ada dan mengurangkan waktu dan perbelanjaan pengangkutan bagi bekas pesalah.

"Melalui platform digital, ini bermakna kita dapat mengadakan persidangan video, jadi (ia) lebih tertumpu," kata Encik Shanmugam.

MEMPERKASA BEKAS PESALAH

Strategi kedua untuk memperkukuhkan jagaan selepas dibebaskan dari penjara bertujuan untuk menyelia dengan lebih baik - dari peringkat ditahan sehingga tamat proses pemulihan seorang pesalah.

Atas tujuan itu, SPS sedang berusaha untuk mengerahkan pegawai yang sama untuk mengendalikan proses pemulihan dari peringkat ditahan dalam penjara sehingga selepas dibebaskan dari penjara.

SPS juga akan menggalak bekas pesalah supaya memainkan peranan lebih besar dalam proses pemulihan mereka menerusi pembangunan satu aplikasi yang menawarkan akses kepada sumber-sumber seperti nota kursus bagi penyemakan diri dan sebuah pangkalan untuk mencari dan memohon pekerjaan.

"Mereka boleh mengenal pasti pekerjaan yang boleh mereka lakukan, di samping bantuan penting yang mereka terima dari SCORE (Lembaga Perbadanan Perusahaan Pemulihan Singapura)," tambah Encik Shanmugam.

ORANG TERSAYANG JADI TUMPUAN

Strategi ketiga ialah memanfaatkan sokongan keluarga dan masyarakat yang bertujuan untuk menangani kesan negatif ke atas hubungan akibat jenayah dan hukuman penjara.

Ini termasuk mendapatkan bantuan pemudah cara terlatih untuk memberi bimbingan kepada pesalah baru dan memperkasakan mereka dengan kemahiran untuk berinteraksi dengan berkesan bersama orang tersayang.

SPS akan bekerjasama dengan Institut Khidmat Sosial (SSI) untuk menawarkan lebih banyak kursus kemahiran yang menumpukan perhatian kepada kemahiran temu duga, terapi keluarga dan kaunseling bagi para pendamping.

"Apabila seseorang ditahan dalam penjara, maka akan ada kesan negatif ke atas hubungan dan pertalian keluarga; bagaimana seseorang berinteraksi dengan keluarga," jelas Encik Shanmugam. "Kita akan memberi tumpuan kepada bidang ini."

Menurut SPS, kursus baru SSI akan menawarkan rangkaian yang lebih luas dan perkongsian ilmu dengan karyawan dari pelbagai sektor.

"Dengan latihan, sukarelawan dan karyawan masyarakat boleh membangunkan rancangan bantuan yang lebih berkesan dan strategik untuk membantu pesalah dan keluarga mereka," tambah SPS.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan