Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam, delegasi S'pura di Lombok selamat susuli gempa bumi 7 skala Richter

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam merupakan di kalangan warga Singapura yang merasakan sendiri kesan gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang melanda Lombok pada Ahad malam (5 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Shanmugam, delegasi S'pura di Lombok selamat susuli gempa bumi 7 skala Richter

Kerosakan akibat gempa bumi di Lombok pada 5 Ogos (Gambar: Facebook/K Shanmugam)

Diterbitkan : 05 Aug 2018 11:12PM Dikemas Kini : 05 Aug 2018 11:43PM

SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam merupakan di kalangan warga Singapura yang merasakan sendiri kesan gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang melanda Lombok pada Ahad malam (5 Ogos).

Encik Shanmugam yang menghadiri sidang keselamatan di pulau peranginan Indonesia itu berkata bahawa beliau dan delegasi Singapura dalam keadaan selamat.

"Saya sedang berada di dalam bilik di tingkat 10 dan melakukan kerja di komputer riba. Tiba-tiba bilik bergoyang dengan kuat dan dinding-dinding retak, hingga mustahil untuk berdiri. Saya dengar suara orang menjerit," kata Encik Shanmugam menerusi catatan Facebook pada Ahad malam.

Tambahnya, beliau turun ke tingkat bawah dengan bangunan bergegar. Bekalan elektrik sudah terputus serta terdapat pintu-pintu yang roboh serta keretakan pada dinding.

"Syukur, delegasi dalam keadaan selamat. Namun saya diberitahu terdapat tetamu lain yang cedera," kata beliau.

Menurut agensi kaji cuaca Indonesia, gempa itu berlaku pada kedalaman 15 kilometer.

Gempa tersebut juga mencetuskan amaran tsunami. Namun amaran tersebut kemudian ditarik balik.

Para penduduk di Mataram, bandar utama Lombok, menyifatkan gempa itu sebagai gegaran kuat yang membuat orang ramai bertempiaran keluar dari bangunan-bangunan.

"Semua orang segera lari keluar dari rumah masing-masing, semua sedang cemas," kata Iman, seorang penduduk Mataram, kepada AFP.

Encik Shanmugam menggesa warga Singapura yang terjejas oleh gempa bumi tersebut supaya menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta.

"(Saya) berharap tiada kecederaan serius dan semua orang selamat," kata beliau lagi.

Gempa bumi terbaru ini berlaku seminggu selepas satu lagi gempa berukuran 6.4 melanda pulau tersebut dan mengakibatkan 17 korban jiwa dan ratusan lagi cedera.

Sementara itu di Singapura, Anggota Parlimen (AP) seperti Amrin Amin turut menyuarakan kebimbangan di atas bencana yang berlaku.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri itu meluahkan rasa lega mendapat berita bahawa delegasi Singapura di Lombok yang termasuk Encik K Shanmugam, dalam keadaan selamat.

"Saya mendoakan bagi keselamatan semua yang berada di Lombok," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan