Images

Shanmugam: Asatizah S'pura terus lakukan 'kerja-kerja sangat penting' bantu tangkis fahaman pelampau

SINGAPURA: Para asatizah Singapura sedang terus melakukan "kerja-kerja sangat penting" dengan membantu menangkis fahaman pelampau. Mereka juga menawarkan panduan dalam soal ekstremisme sejak berdekad lamanya.

Demikian pujian Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam kepada golongan asatizah hari ini (4 Mei) semasa melancarkan tiga buku termasuk mengenai pengganasan, terbitan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS).

HIMPUNAN PELBAGAI RENCANA TULISAN ASATIZAH S'PURA

Menangkis Ideologi ISIS: Suara-Suara dari Sarjana-Sarjana Keagamaan Singapura. Itulah tajuk buku terbitan PERGAS yang dilancarkan Encik Shanmugam siang tadi.

Disunting oleh Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan dan Prof Rohan Gunaratna, ia menghimpunkan pelbagai rencana tulisan asatizah Singapura demi menolak pengganasan. Ia juga mengupas tentang putar belit yang dibuat terhadap Islam.


Encik Shanmugam, yang juga merupakan Menteri Undang-Undang, berkata bahawa ini merupakan satu lagi bukti sumbangan yang dilakukan PERGAS.

"Dan khususnya, mereka juga memberi tumpuan kepada pelampauan ganas dan ideologi yang pelampau bergantung kepada. Mereka memberi tumpuan, mereka membawa pembaca melalui ideologi yang menyeleweng dan digunakan oleh pelampau dan pengganas, dan mereka dedahkannya.

"Dan mereka memberi rangka kerja bagi cara bagaimana agama boleh didekati," kata Encik Shanmugam.

Menurut beliau lagi buku seperti ini mempunyai hikmah yang bukan sahaja membimbing masyarakat Muslim tempatan, ia juga boleh membantu masyarakat bukan Muslim memahami Islam dengan lebih baik lagi.

Asatizah veteran yang juga Presiden PERGAS, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, mengalu-alukan sanjungan Encik Shanmugam itu bagi golongan asatizah.


"Mereka menulis bukan berdasarkan pemikiran sahaja, tetapi berdasarkan pengalaman. Mereka terlibat dalam Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan mereka terlibat dalam kaunseling mereka yang terlibat dalam pengganasan ini," kata Ustaz Hasbi.

"Jadi sangat baik penulisan mereka sebab mereka cantumkan dua elemen penting – pemikiran dan pengalaman."

BUKU BUKTI PERGAS BERUSAHA DAMPINGI MASYARAKAT

Dua lagi buku yang dilancarkan hari ini ialah Rahsia Di Sebalik Surah Al-Ikhlas tulisan Ustaz Hasbi sendiri dan Pemikiran Sosio-Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Koleksi Khutbah (1971-1980) tulisan Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha.


Bagi buku mengenai Ustaz Ahmad Sonhadji - ulama tafsir Quran tempatan yang disegani di rantau Asia Tenggara ini - Encik Shamugam berkata ia menawarkan panduan keagamaan bagi isu-isu yang dihadapi masyarakat Muslim kita.

"Ini koleksi khutbah-khutbah beliau antara 1971 hingga 1980 - selama 10 tahun. Dan perkara paling penting ialah (khutbah-khutbah) ini tidak diterbitkan dengan meluas sebelum ini.

"Jadi penerbitan khutbah-khutbah ini adalah suatu kerja sangat penting oleh PERGAS dan saya diberitahu ia relevan pada masa itu. Dan ia relevan pada masa sekarang serta digunakan oleh para ulama sehingga sekarang," kata Encik Shanmugam sebagai menjawab soalan wartawan.

Ustaz Hasbi pula menambah, buku-buku itu menjadi bukti bahawa PERGAS berusaha untuk sentiasa mendampingi masyarakat secara fizikal dan kerohanian.

Menerusi karya-karya itu, beliau berharap masyarakat dapat mendekatkan diri mereka dengan asatizah, dan asatizah sebaliknya juga dapat mendekatkan diri kepada masyarakat.

Buku-buku 'Menangkis Ideologi ISIS: Suara-Suara dari Sarjana-Sarjana Keagamaan Singapura' dan 'Rahsia Di Sebalik Surah Al-Ikhlas' boleh dibeli di pergas.org.sg

- BERITAmediacorp/im

Top