Images
  • Singapore

Shahidah Travel ceburi niaga produk siap makan

SINGAPURA: Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan semakin ramai pelanggan yang lebih suka berwisata sendiri, syarikat Shahidah Travel mengorak langkah untuk menembusi pasaran makanan siap makan.

Selain dapat menjimatkan kos pakej wisata sehingga AS$200 (S$276), para pelanggan Shahidah Travel juga dapat terus menikmati makanan halal tempatan walaupun berada di negeri-negeri yang tidak banyak makanan halal.

Malah anak syarikat barunya, Ayoobi Food Supplies, merancang meluaskan perniagaan makanan siap makan keluarannya ke sekolah-sekolah ataupun "vending machine".

Produk-produk makanan siap makan tidak asing lagi di pasaran Malaysia. Tetapi mulai bulan ini, Ayoobi Food Supplies menjadi pengedar tunggalnya di Singapura.

PERKENAL PRODUK SIAP MAKAN KEPADA JEMAAH, PAKEJ WISATA

Malah, Shahidah Travel sudah mula memperkenalkan produk-produk siap makan kepada para jemaah umrah dan pakej-pakej wisatanya sejak tahun lalu.

Pengarah Urusan Shahidah Travel, Ayoob Angullia, berkata: "Kami sediakan (produk siap makan) sebagai alternatif. Itu akan mengurangkan kos, dapat menyenangkan mereka dan mereka dapat berehat menggunakan masa bermutu di luar negeri."

Peserta Wisata Shahidah Travel ke Sepanyol, Nani Asnor, berkata: "Kalau kita makan di luar semasa di Sepanyol, satu hidangan makan malam mungkin lebih EUR20 (S$30). Jadi memang sangat menjimatkan apabila kita membawa makanan ini dari Singapura."

AKAN PERKENAL 7 HIDANGAN IKUT CITA RASA WARGA S'PURA

Selain untuk menjimatkan kos makanan semasa melancong, Ayoobi Food Supplies juga akan memperkenalkan sekurang-kurangnya tujuh lagi hidangan baru mengikut cita rasa warga Singapura, menjelang hujung tahun ini. Ia termasuk asam pedas dan nasi briyani Singapura.

Ayoobi Food Supplies juga sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kapal peleseran di Indonesia dan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah untuk memasarkan makanannya.

Encik Ayoob berkata: "Maknanya mereka beli menerusi 'vending machine' supaya mereka dapat gunakan dalam penerbangan mereka."

Semua produk yang dipasarkan Ayoobi Food Supplies sudah diluluskan Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan (AVA) serta mempunyai sijil halal dari Malaysia. 

- BERITAMediacorp/nd

Top