Images
  • malay family
    (Gambar fail: Try Sutrisno Foo)

SGTeguhBersatu upayakan pelbagai pihak bantu masyarakat memerlukan: Badan Melayu/Islam, NTUC

SINGAPURA: Pasukan bertindak SGTeguhBersatu (SGTB) mengupayakan badan-badan yang terlibat supaya dapat menghulurkan bantuan secara lebih tersasar dan bersepadu kepada anggota masyarakat Melayu/Islam yang benar-benar terjejas oleh kesan pandemik COVID-19.

Demikian menurut beberapa badan anggota SGTB pada Sabtu (8 Mei), menyusuli satu kenyataan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berhubung kerjasama yang akan dipertingkat untuk membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan lebih baik sepanjang pandemik COVID-19.

Yayasan MENDAKI menyingkap beberapa inisiatif yang ditawarkannya bagi menyokong masyarakat dalam masa-masa mencabar, termasuk bantuan kewangan bagi pelajar ITE serta pelbagai sokongan bagi pelajar pasca menengah dan institut pengajian tinggi (IHL).


Pengarah eksekutif AMP Zarina Yusof berkata dalam satu kenyataan bahawa inisiatif tersebut membantu AMP menumpukan usahanya kepada golongan penerima yang "paling terjejas".

"Sebagai sebuah anggota SGTeguhBersatu (SGTB) , AMP dapat menyelaraskan dan menyesuaikan semula usaha kami untuk membantu mereka yang paling terjejas oleh COVID-19," tulis beliau di laman Facebook AMP.

"Menerusi perkongsian dan kemas kini oleh anggota SGTB lain, kami dapat mengelakkan sebarang program bertindih. Kami kini dapat menumpukan kepada kumpulan penerima lain yang jika tidak akan terlepas dipandang."

Sementara itu, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) bagi gerakan buruh, Abdul Samad Abdul Wahab, pula mengikrarkan sokongan berterusan dari segi pekerjaan.

"NTUC dan Kesatuan-kesatuan akan terus menawarkan sokongan kepada para anggota terjejas dan sesama pekerja, dari segi pekerjaan dan keupayaan diambil bekerja," kata Encik Abdul Samad.

Badan bantuan untuk golongan wanita, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan MMO lain sebagai memperkukuh modal sosial dalam masyarakat.

"Ia adalah pengalaman memuaskan bagi para kakitangan dan badan ini (PPIS) untuk mencabar diri dan menjangkaui program dan khidmat biasa, untuk menyumbang kepada tujuan lebih besar dalam masa-masa yang mencabar," kata mantan presiden PPIS, Rahayu Mohamad.

Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS)(DPPMS) Farid Khan, menarik perhatian bagaimana cabaran yang timbul akibat COVID-19 mengetengahkan peranan kritikal yang dimainkan badan-badan masyarakat, termasuk dewan perniagaan, dalam membantu individu dan pemilik perniagaan yang terjejas dek kesan ekonomi pandemik itu.

"Pada 2020, menerusi program sokongan meluas dan disesuaikan secara individu, DPPMS membantu lebih 13,000 individu/pemilik perniagaan berbeza," kata Encik Farid Khan.

Ini kata beliau, adalah berkat kerjasama dengan badan-badan Melayu/Islam lain menerusi pasukan bertindak SGTB.

"Sedang kita menghampiri pertengahan tahun 2021, adalah jelas perjuangan mengatasi pandemik ini belum lagi berakhir. Pasukan bertindak SG Teguh Bersatu komited untuk meneruskan sokongannya bagi masyarakat, dengan matlamat bangkit lebih kukuh, mengatasi krisis ini." 

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top