Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SGT Muhd Sufi, Mohd Adrian antara 13 dipuji CPIB kerana tolak rasuah

13 individu diberikan Anugerah Kepujian oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) hari ini (11 Feb) kerana menolak sogokan wang rasuah yang cuba dihulurkan kepada mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 13 individu diberikan Anugerah Kepujian oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) hari ini (11 Feb) kerana menolak sogokan wang rasuah yang cuba dihulurkan kepada mereka.

Pengarah CPIB, Encik Denis Tang, memuji mereka kerana bukan sahaja menolak rasuah, malah melaporkannya kepada pihak berkuasa.

BERITAMediacorp bertemu dengan dua daripada penerima Anugerah Kepujian itu - Sarjan Muhammad Sufi Mohammad Hussin dan Encik Mohammed Adrian Hussein - yang berkongsi kisah mereka menentang rasuah.

SGT SUFI TOLAK RASUAH, MENDUKUNG KEADILAN

Sarjan Muhammad Sufi Mohammad Hussin.

Sarjan Muhammad Sufi Mohammad Hussin.

Sarjan Muhammad Sufi Mohammad Hussin menjalankan rondaan bersama Sarjan Sally Chua tiga tahun lalu, apabila mereka mendapati seorang pemandu bernama Tock Chan Kok meluru ke hadapan sebelum terlanggar bendul jalan raya.

Kedua-dua pegawai itu mendapati Encik Tock sebenarnya dalam keadaan mabuk arak.

Apabila diminta memberikan kad pengenalannya, Tock sebaliknya menghulurkan wang sogokan $50 kepada kedua-dua pegawai polis itu.

Mereka dengan pantas menolak wang rasuah itu dan melaporkannya kepada CPIB.

Encik Tock dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan kerana cuba memberi rasuah kepada kedua-dua pegawai tersebut.

Atas kejujuran mereka itu, kedua-dua sarjan tersebut diberikan Anugerah Kepujian hari ini.

"Saya rasa bangga terhadap rakan saya dan diri saya pada hari itu kerana kita mengambil tindakan sedemikian kerana jika saya mengambil tawaran (rasuah) yang dia berikan kepada saya, saya tentunya melanggar kepercayaan orang awam untuk mendukung undang-undang dan ketenteraman awam di Singapura," kata SGT Sufi.

MOHAMMED ADRIAN: PESALAH CUBA SOGOK WANG S$200

Turut dijulang dengan Anugerah Kepujian kerana menolak rasuah ialah pegawai perhubungan dari syarikat CPG Facilities Management Pte Ltd, Encik Mohammed Adrian Hussein.

Seorang penyewa rumah kedai HDB cuba memberikan rasuah $200 kepadanya semasa pegawai itu menjalankan pemeriksaan di Jurong East dan mendapati ada 13 katil penyewa, sedangkan hanya lapan dibenarkan.

Encik Adrian kemudian memberitahu penyewa unit itu, Zhou Jian, tentang perkara tersebut. Zhou menguruskan penyewaan tangan atas tangan, daripada penyewa utama bagi flat tersebut.

Zhou kemudian menghulurkan wang S$200 dengan maksud agar Encik Adrian tidak melaporkan tentang jumlah penginap yang ramai di unit tersebut dan bersikap 'lembut' dalam laporan pemeriksaannya itu.

Encik Adrian sedar bahawa ia ini merupakan percubaan member rasuah beliau melaporkan insiden tersebut kepada CPIB.

"Saya menolak rasuah yang diberikan oleh pekerja itu kerana saya harus memastikan saya ada integriti sendiri, dan memang ia sebahagian daripada tugas saya untuk memastikan perkara begini tidak berlaku," kongsinya bersama pihak kami.

Zhou akhirnya dikenakan tuduhan dan didapati bersalah. Dia dikenakan hukuman penjara selama tiga minggu.

S'PURA TANGGA KETIGA BEBAS RASUAH

Indeks Persepsi Rasuah 2018 menempatkan Singapura di tangga ketiga sebagai negara paling bebas rasuah di kalangan 180 negara.

Encik Tang bagaimanapun menekankan, Singapura tidak boleh leka kerana dek "ketamakan manusia", usaha memerangi rasuah adalah "perjuangan yang tiada akhirnya".

Kewibawaan yang ditunjukkan 13 penerima Anugerah Kepujian termasuk Encik Adrian dan SGT Sufi, merupakan "contoh-contoh baik tentang kejujuran dan jalan menuju kebenaran bagi kita semua", kata Encik Tang.

"Saya berharap pengalaman dan cerita mereka akan menggalakkan dan memberi inspirasi kepada rakan-rakan, anggota keluarga dan sahabat taulan mereka untuk melakukan yang serupa, agar Singapura boleh terus kekal bersih dan bebas rasuah." 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan