Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SFA ambil tindakan kuat kuasa ke atas penjual bunga jalanan tanpa lesen di Pusara Abadi

Jika anda mahu membeli bunga dari penjual jalanan di lorong masuk ke Pusara Abadi, anda besar kemungkinan tidak lagi dapat berbuat demikian sekarang ini. BERITAmediacorp diberitahu bahawa para penjual bunga jalanan di situ tidak lagi dibenarkan beroperasi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda mahu membeli bunga dari penjual jalanan di lorong masuk ke Pusara Abadi, anda besar kemungkinan tidak lagi dapat berbuat demikian sekarang ini.

BERITAmediacorp diberitahu bahawa para penjual bunga jalanan di situ tidak lagi dibenarkan beroperasi.

Ini setelah sekurang-kurangnya dua serbuan dilakukan pihak berkuasa sejauh ini, di lorong masuk ke Pusara Abadi - tapak lazim para penjual bunga berniaga.

Semasa BERITAmediacorp sendiri 'turun padang' ke tanah perkuburan Islam itu untuk meninjau keadaan sejak seminggu lalu, memang tiada satu pun kelibat penjual bunga jalanan kelihatan. Sedangkan lazimnya ada lebih enam penjual di jalan tersebut. 

APA YANG BERLAKU?

Sumber-sumber di Pusara Abadi atau 'orang-orang kubur' memberitahu kami, para penjual bunga jalanan sudah tidak lagi kerap dilihat sejak Ogos lalu selepas tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka.

"Sudah sebulan lebih. Baru juga pihak berkuasa ambil tindakan dan mereka hantar surat tiga empat kali," cerita Ahmad (bukan nama sebenar), seorang penyedia khidmat pengurusan jenazah, semasa ditemui di Pusara Abadi.

Encik Ahmad menambah, ada juga kejadian di mana bunga yang dijaja itu dimasukkan ke dalam beg plastik, diikat lalu diangkut oleh pegawai penguat kuasa.

"Kalau dia nak ambil, ambil. Ada tidak diambil kerana mereka bayar saman, bunga ditinggalkan. Mereka (pegawai penguat kuasa) seperti di MRT juga, kalau ada siapa-siapa jual kuih atau barang lain. Mereka tidak kasar lah, memang tugas mereka begitu," ceritanya lagi.

PENJELASAN PIHAK BERKUASA

Kami mengajukan pertanyaan kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mendapatkan penjelasan tentang tindakan yang diambil terhadap para penjual bunga jalanan itu.

Pertanyaan tersebut sebaliknya dijawab oleh Agensi Makanan Singapura (SFA). SFA yang sebenarnya mengerahkan para pegawainya ke Pusara Abadi. Badan pemerintah itu jugalah yang bertanggungjawab ke atas pelesenan para penjaja - tidak kira jualan mereka adalah makanan ataupun tidak.

SFA menjelaskan kepada kami bahawa pihaknya menjalankan siasatan di Tanah Perkuburan Islam itu selepas ia menerima dua aduan pada bulan Ogos.

Penjual bunga di jalan masuk menuju Pusara Abadi. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Gambar fail.

Menurutnya lagi, semua penjual bunga di laluan masuk menuju tanah perkuburan tersebut kemudian didapati tidak berlesen - satu pelanggaran di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran.

Ia menambah, keperluan mempunyai lesen untuk menjaja bunga sebenarnya sudah lama termaktub. Lesen di bawah Skim Penjaja Jalanan tidak mahal dan kekal pada harga $120 setahun atau $10 sebulan, sejak sekitar 20 tahun lalu.

Penjaja yang berlesen pula hanya dibenarkan menjual barang-barang yang diluluskan, seperti suratkhabar dan kad telefon. Mereka juga hanya dibenarkan menjaja di satu lokasi tetap sahaja.

Penjual bunga di jalan masuk menuju Pusara Abadi. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Gambar fail. 

Tanpa lesen, seseorang peniaga jalanan boleh didenda S$300 bagi kesalahan kali pertama, dan S$400 atau S$500 apabila mengulangi kesalahan itu buat kali kedua dan ketiga.

Jika pesalah tetap berjualan tanpa lesen selepas tiga kali disaman, dia boleh didakwa di mahkamah.

JADI MENGAPA TIDAK MOHON LESEN?

BERITAmediacorp difahamkan sebenarnya ada di kalangan penjual bunga jalanan sudah bertahun-tahun atau puluhan tahun berniaga di Perkuburan Islam Chua Chu Kang.

Percubaan kami untuk menemu bual mereka bagaimanapun gagal.

Sungguhpun demikian, 'orang-orang kubur' menawarkan penjelasan mengapa kenalan mereka yang menjual bunga itu tidak mendapatkan lesen sehingga ke hari ini.

"Mereka tidak tahu macam mana nak dapatkan lesen. Tak ada satu orang pun beritahu mereka jika boleh dapatkan lesen ataupun tidak," kata Encik Ahmad.

Seorang lagi pembersih kubur yang kami temui, Ali (bukan nama sebenar), mendakwa sebilangan penjual ada juga yang membuat permohonan tetapi ia tidak diluluskan.

"Sebabnya saya tidak tahu mengapa. Satu lagi, ia (gerai penjaja) menghalang trafik."

Ali menambah, ada juga kekeliruan tentang proses mendapatkan lesen.

"Mereka katakan jika ingin mohon lesen, perlu minta dengan tuan tanah. Tetapi tuan tanah katakan, mereka perlu mohon lesen dengan Agensi Makanan Singapura. Mereka arah kita ke sana sini," kata beliau lagi tentang kekeliruan di kalangan para penjaja bunga jalanan itu.

APA YANG PERLU DILAKUKAN PENJUAL BUNGA TERJEJAS?

SFA menerangkan kepada BERITAmediacorp bahawa penjaja yang inginkan lesen boleh langsung menulis kepadanya. Ini boleh dilakukan menerusi borang maklum balas online SFA.

Namun, kriteria kelayakan bagi lesen di bawah Skim Penjaja Jalanan, menurut SFA, sangat ketat. Setiap permohonan akan diteliti pihaknya sebelum mereka menghubungi si pemohon.

Buat masa ini, hanya ada satu penjual bunga berlesen di Tanah Perkuburan Islam Chua Chu Kang, iaitu di Masjid Pusara Aman.

Di laman SFA pula, ia menjelasklan bahawa menjaja secara jalanan tanpa lesen menimbulkan risiko kepada kesihatan awam. Demi melindungi keselamatan awam, SFA bertindak terhadap penjaja haram yang tidak mengikut peraturan.

Ia juga menulis bahawa para penjaja jalanan lebih digalak mengambil jalan yang membuka pintu rezekinya buat jangka panjang. Misalnya dengan mempelajari kemahiran baru, atau beroperasi dari sebuah premis runcit.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan