Images
  • jurong bird park tourism 16 sep 2020
    Pengunjung ke Taman Burung Jurong pada 16 Sep 2020 (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Setiap warga S'pura 18 tahun ke atas akan terima baucar pelancongan tempatan S$100

SINGAPURA: Setiap warga Singapura berusia 18 tahun ke atas pada tahun 2020 akan menerima baucar SingapoRediscovers bernilai S$100, yang boleh digunakan antara Disember 2020 dengan akhir Jun 2021.

Bercakap kepada para wartawan di Taman Burung Jurong pada Rabu (16 Sep), Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata: “Ini bukan skim bantuan sosial. Ini adalah skim ekonomi untuk membantu tempat daya tarikan pelancongan kita mengekalkan keupayaan mereka yang dibangunkan selama bertahun-tahun, sedang mereka mengukuhkan keupayaan buat sementara ini. "

Baucar-baucar akan disediakan dalam bentuk nilai S$10 melalui SingPass, dan boleh digunakan untuk membeli tiket tarikan pelancong dan lawatan berpandu, serta tempahan penginapan di hotel berlesen, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan berasingan pada Rabu.

Maklumat lanjut mengenai cara penebusan boleh dibuat akan diumumkan pada November.

Baucar-baucar tersebut diumumkan menyusuli pengumuman Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Ogos bahawa Pemerintah akan mengagihkan baucar-baucar bernilai S$320 juta untuk menggalak warga Singapura menyokong perniagaan pelancongan tempatan.

Subsidi S$10 juga akan disediakan untuk tiket kanak-kanak dan belia bagi tarikan pelancong dan lawatan, tambah STB. Setiap orang boleh membeli hingga enam tiket kanak-kanak atau belia pada harga bersubsidi.

Skim ini akan melengkapi kempen SingapoRediscovers sedia ada yang dilancarkan pada Julai, tambah STB.

Lebih 200 tawaran dan pakej dilancarkan "untuk menggalak penduduk tempatan meneroka kawasan dan aspek kehidupan Singapura yang berbeza", menurut STB. Baucar itu akan lebih mendorong warga Singapura untuk melakukan demikian, tambahnya.

Semua hotel berlesen, tarikan pelancong dan lawatan yang dibenarkan oleh STB untuk beroperasi atau dibuka semula boleh meraih manfaat dari skim ini.

"Kami menjangkakan kesan berganda kerana apabila orang datang ke sini, mereka juga akan berbelanja untuk barang lain. Kami menjadikan skim ini agak mudah. Sebagai contoh, mereka boleh menggunakan (baucar) ini untuk membayar tiket atau membiayai sebahagian kos tiket untuk masuk.

"Tetapi apabila mereka masuk, mereka akan berbelanja untuk F&B dan perkhidmatan lain yang disediakan oleh tarikan, hotel atau lawatan tersebut," kata Encik Chan pada Rabu.

Mulai 18 Sep, tempat daya tarikan yang telah mendapat keizinan untuk menyambung semula operasi boleh mengemukakan permohonan kepada STB untuk meningkatkan keupayaan operasi mereka dari 25 peratus kepada 50 peratus, bergantung pada kelulusan dari Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.

Tempat daya tarikan juga boleh memohon untuk meningkatkan keupayaan jumlah pertunjukan terbuka mereka kepada lima zon, dengan 50 orang di satu zon, tertakluk kepada langkah-langkah pengurusan selamat.

Pertunjukan di tempat terbuka sebelum ini terhad kepada maksimum 50 orang.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/TQ/tq

Top