Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Setiap penduduk Singapura bakal dapat sepasang pelitup guna semula percuma mulai 21 Sep

Mulai 21 Sep, setiap penduduk Singapura boleh mendapatkan sepasang pelitup guna semula secara percuma di bawah satu lagi inisiatif yang dianjurkan oleh Yayasan Temasek.

Anggaran Waktu Membaca:
Setiap penduduk Singapura bakal dapat sepasang pelitup guna semula percuma mulai 21 Sep

Pengunjung memakai pelitup berjalan-jalan di Orchard Raod, Singapura, pada 28 Jan.

Diterbitkan : 10 Sep 2020 12:05AM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 12:08AM

SINGAPURA: Mulai 21 Sep, setiap penduduk Singapura boleh mendapatkan sepasang pelitup guna semula secara percuma di bawah satu lagi inisiatif yang dianjurkan oleh Yayasan Temasek.

Pembantu rumah dan pekerja yang memegang pas kerja juga boleh mendapatkan pelitup mereka dengan menggunakan kad FIN mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif, CEO Temasek Holdings Cik Ho Ching mengumumkan inisiatif terbaru pengagihan pelitup itu dalam satu catatan Facebook pada Rabu (9 Sep).

"Kakitangan di Yayasan Temasek sudah membuat rancangan ini selama beberapa waktu, dan ingin membuat pengumuman rasmi sebelum hujung minggu ini," tulis Cik Ho.

Pelitup tersebut boleh mula diambil pada 21 Sep jam 10.00 pagi dan berakhir pada 4 Oktober. Sementara itu tempahan awal bagi mereka yang inginkan pelitup tambahan atau pelitup dalam warna selain putih - akan dibuka dari 13 Sep hingga 2 Oktober.

Penduduk perlu mengimbas kod di kad pengenalan NRIC, FIN, lesen memandu atau sebarang kad pengenalan diri yang dikeluarkan pemerintah (dengan kod bar) untuk mengambil pelitup mereka. Setiap kad boleh digunakan untuk mengambil satu kit percuma yang mengandungi dua pelitup kain berwarna putih.

Semasa pengagihan pelitup Yayasan Temasek yang lalu pada bulan Jun dan Julai, pelitup juga disediakan di mesin layan diri yang terletak di seluruh negara.

Cik Ho berkata terdapat "cukup bekalan" pelitup berwarna putih untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

"Untuk elak orang ramai, disyorkan pergi selepas tiga hari pertama pengagihan," tambahnya.

Penduduk yang ingin membeli lebih banyak pelitup boleh membuat tempahan awal secara online.

Pelitup berwarna putih dan biru tua boleh didapati dengan harga S$8 setiap kit dan setiap orang boleh membuat tempahan sehingga 10 kit bagi warna tersebut. Setiap kit mengandungi sepasang pelitup.

Terdapat edisi terhad yang lain dalam warna hitam, oren muda dan biru denim. Warna-warna ini berharga S$10 setiap kit dan setiap orang hanya boleh membuat tempahan sehingga lima kit.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan