Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Setiap calon SDP 'mampu berdiri sendiri', tegas Chee Soon Juan

Setiap calon Parti Demokratik Singapura (SDP) 'mampu berdiri sendiri', kata setiausaha agung parti itu Chee Soon Juan pada Selasa (30 Jun) di sidang media maya yang diadakan sempena Hari Penamaan Calon.

Anggaran Waktu Membaca:
Setiap calon SDP 'mampu berdiri sendiri', tegas Chee Soon Juan

Dr Chee Soon Juan pada 30 Jun 2020 (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 09:38PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 09:52PM

SINGAPURA: Setiap calon Parti Demokratik Singapura (SDP) 'mampu berdiri sendiri', kata setiausaha agung parti itu Chee Soon Juan pada Selasa (30 Jun) di sidang media maya yang diadakan sempena Hari Penamaan Calon.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media tentang bagaimana keputusan dibuat untuk membariskan calon SDP di kawasan-kawasan undi yang tidak dijangkakan ramai sebelum ini. Pengerusi parti, Paul Tambyah, misalnya, akan bertanding di SMC Bukit Panjang. Beliau sebelum ini dijangka akan memimpin pasukan SDP untuk bertanding di GRC Holland-Bukit Timah.

"Setiap anggota kami, 11 kesemuanya, mempunyai kebolehan sebagai calon, dan kemudian untuk dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP), dan kami dengan berhati-hati mengatur langkah untuk memastikan kami memperhalusi jumlah calon kami dan memastikan kami menumpukan perhatian kepada mutu dan bukan jumlah," kata Dr Chee.

"Kami tidak akan menampilkan 11 calon ini jika kami tidak yakin yang kami akan dipilih."

Para calon SDP melakukan lawatan bertemu penduduk di semua kawasan undi yang akan ditandingi SDP - GRC Holland-Bukit Timah, GRC Marsiling-Yew Tee, SMC Yuhua, SMC Bukit Batok dan SMC Bukit Panjang - tambah Dr Chee.

Beliau turut mendedahkan bahawa SDP juga maklum tentang betapa pentingnya untuk terus mendampingi penduduk. Ini termasuk bersiap sedia apabila sempadan kawasan undi diubah, katanya

"Apabila semuanya sudah dijelaskan, barulah kami menimbangkan di mana untuk menampilkan calon-calon kami bagi memaksimumkan peluang kami untuk menang," katanya.

CALON BERTANDING DI KAWASAN UNDI MENGEJUT

Selain Dr Tambyah, pencalonan Encik Benjamin Pwee di GRC Marsiling-Yew Tee juga tidak dijangkakan kerana beliau pernah dilihat melakukan lawatan bertemu penduduk di SMC Yuhua.

Dr James Gomez, sebaliknya, ditampilkan di GRC Holland-Bukit Timah setelah kerap kali dilihat di Marsiling-Yew Tee.

Apabila ditanya tentang kemunculannya di GRC Holland-Bukit Timah, Dr Gomez, seorang saintis politik, berkata beliau sudah tinggal di kawasan itu selama 20 tahun dan akan terus tinggal di sana.

Beliau menambah bahawa situasi di mana para calon berpindah dari satu kawasan undi ke kawasan undi lain "konsisten dengan amalan yang telah kita lihat daripada semua parti politik, termasuk Parti Tindakan Rakyat (PAP)".

Encik Pwee, ahli strategi pembangunan perniagaan, berkata yang penting, para anggota SDP dapat terus melakukan lawatan bertemu penduduk sebagai sebuah parti.

Dr Tambyah, bakal presiden baru Persatuan Penyakit Berjangkit Antarabangsa, bagaimanapun tidak berkata apa-apa semasa sidang media maya itu.

PENYERTAAN TAN JEE SAY BUKAN "MENGEJUTKAN"

Bekas calon presiden Tan Jee Say, pengasas parti pembangkang Warga Diutamakan (SingFirst) yang kini dibubarkan, juga merupakan calon yang mengejutkan.

Beliau berkata dalam catatan Facebook pada Isnin bahawa beliau sudah menghubungi Dr Chee untuk menyertai semula parti itu. SDP kemudian mengesahkan bahawa beliau membuat permohonan, tanpa mengesahkan sama ada beliau sudah diterima sebagai anggota parti tersebut.

Encik Tan akan menyertai Dr Gomez, karyawan komunikasi pemasaran Min Cheong dan ahli perniagaan Alfred Tan untuk bersaing dengan PAP di GRC Holland-Bukit Timah.

Menjawab pertanyaan sama ada keputusannya untuk menyertai semula SDP adalah mendadak dan sama ada ia akan menyinggung mana-mana pihak, Encik Tan berkata keputusan beliau 'disambut baik', sambil menambah bahawa beliau tidak rasa mana-mana pihak akan berasa "terkilan atau (keputusan) itu dbuat secara tiba-tiba" .

Encik Tan memulakan kerjaya politiknya dengan SDP pada 2011, bertanding di GRC Holland-Bukit Timah pada tahun itu.

Beliau berkata ketika itu bahawa beliau perlu mengundurkan diri daripada SDP untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2011. Beliau kemudian kembali ke SDP namun keluar sekali lagi untuk membentuk SingFirst pada 2014.

Pada Selasa, Encik Tan berkata bahawa anggota SDP "kerap meminta saya untuk kembali ke parti itu".

Apabila ditanya sama ada pencalonannya akan membawa kelebihan atau menimbulkan kelemahan dalam mendapatkan sokongan, Encik Tan menegaskan bahawa beliau sudah dikenali para penduduk di kawasan tersebut.

Walaupun berita itu "agak mengejutkan untuk didedahkan", "Saya sudah dikenali ramai orang di Singapura", katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan