Images
  • spize (1)
    Cawangan Spize River Valley digantung dan lesennya kemudian dibatalkan menyusuli kes keracunan makanan besar-besaran itu. (Gambar: Jeremy Long)

Set bento Spize yang sudah beberapa jam disiapkan mungkin punca kematian Allahyarham Mohamad Fadli Mohd Saleh

SINGAPURA: Seorang pegawai polis tambahan yang meninggal dunia akibat sepsis dan kegagalan pelbagai organ seminggu selepas memakan set bento, memakan makanan itu beberapa jam setelah ia disediakan.

Allahyarham Mohamad Fadli Mohd Saleh, seorang kakitangan SATS yang berusia 38 tahun, memakan set bento yang disediakan oleh restoran Spize antara pukul 2.53 petang hingga 4.00 petang pada 6 November 2018.

Pada hari pertama siasatan dijalankan hari ini (15 Ogos), mahkamah koroner dimaklumkan bahawa set bento itu disediakan oleh cawangan Spize di River Valley antara pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Allahyarham Mohamad Fadli bagaimanapun hanya memakan set bento itu sekitar lima jam kemudian.

Dua agensi pemerintah terlibat dalam kes tersebut: Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA), yang pada masa itu terdiri daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar. 

MOH mengaitkan tujuh insiden keracunan makanan berasingan, yang berlaku antara 6 November hingga 9 November, dengan Spize.

Sejumlah 211 orang memakan makanan yang disediakan oleh Spize. Seramai 73 daripada mereka jatuh sakit, dengan 47 dimasukkan ke hospital termasuk Allahyarham.

Seramai 36 daripada mereka diuji positif dijangkiti salmonela.

Lagi 35 yang lain sudahpun beransur pulih, kata Penolong Pengarah MOH Pream Raj, salah seorang daripada empat saksi yang memberi keterangan hari ini. Ia diterajui oleh Peguam Gabriel Choong.

Semasa memberikan keterangan di mahkamah, beliau berkata penularan salmonela adalah 'luar biasa' walaupun bakteria itu menjadi punca biasa bagi wabak seumpama itu.

Penyakit itu biasanya mempunyai tempoh inkubasi antara 12 hinggga 36 jam.

Bagaimanapun dalam insiden itu, tempoh inkubasi adalah lebih singkat iaitu hanya sekitar lapan jam, dengan kadar kemasukan hospital yang tinggi.

Siasatan yang dijalankan menolak kemungkinan terdapat sejenis patogen virulen yang menyebabkan penularan salmonela lebih teruk.

Sebaliknya, kadar kemasukan hospital yang tinggi dan kadar inkubasi yang singkat mungkin disebabkan oleh jumlah bakteria yang meningkat dalam makanan-makanan yang tercemar, kata Encik Raj.

Ini menggambarkan pencemaran alam sekitar yang sungguh ketara serta amalan kebersihan makanan yang kurang baik, tambahnya.

PENCEMARAN KETARA, TAHAP KEBERSIHAN MAKANAN YANG LEMAH

Dua daripada 34 pengendali makanan yang bekerja di Spize pada masa itu diuji positif bagi virus keracunan makanan. Mereka kemudian dilarang daripada menguruskan makanan.

NEA mengumpul sampel makanan serta mengambil sampel tahap kebersihan di premis itu bagi menjalankan analisis mikrob dan mengesan bakteria salmonela dalam makanan.

Ujian itu juga mendapati sejenis bakteria yang biasanya dikesan pada najis, di pemegang pintu, papan cincang dan pisau.

Cawangan Spize River Valley digantung dan lesennya kemudian dibatalkan menyusuli kes keracunan makanan besar-besaran itu.

Koroner akan mendedahkan hasil siasatannya pada Jumaat (23 Ogos).  

- CNA/AI/ai

Top