Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesuatu yang "dikesali" jika MINDEF bertanggapan Ben tidak akan pulang jalani NS, kata bapa

Menurut Encik Davis, beliau belum bertemu dengan sesiapa pun dari MINDEF dan tidak tahu akan apa yang dibentangkan oleh MCCY kepada MINDEF berhubung permintaan anaknya untuk menangguhkan NS.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesuatu yang "dikesali" jika MINDEF bertanggapan Ben tidak akan pulang jalani NS, kata bapa

(Gambar: Facebook/FAS)

Diterbitkan : 18 Jul 2018 10:50PM Dikemas Kini : 18 Jul 2018 10:58PM

SINGAPURA: Encik Harvey Davis, ayah pemain bola sepak Ben Davis, mengatakan dalam satu kenyataan pada Rabu (18 Jul) bahawa ia adalah sesuatu yang "dikesali" jika Kementerian Pertahanan (MINDEF) bertanggapan bahawa anak lelakinya tidak akan pulang ke Singapura untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Ini menyusuli satu kenyataan daripada MINDEF, juga dikeluarkan pada Rabu (18 Jul), yang menyatakan bahawa remaja itu tidak mempunyai "sebarang niat" untuk memenuhi kewajipan NS. Ia turut menyatakan bahawa tindakan remaja itu bertujuan untuk mengutamakan kerjaya profesionalnya, bukan demi kepentingan negara.

"Terdapat banyak faktor, semuanya bergantung kepada pembangunan dan kemajuannya dan sesiapa saja yang memahami bagaimana bola sepak profesional dan sukan berfungsi, akan memahami perkara ini," kata Encik Davis dalam satu kenyataan media.

"Dalam perbincangan saya dengan SportSG dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), saya faham dengan jelas bahawa Ben perlu menjalani NS tetapi persoalannya adalah bilakah tanggungjawab itu akan dipenuhi," tambahnya.

"Perkara itu sudah ditekankan sekali lagi dalam responsnya yang dikirimkan melalui emel kepada MCCY pada 15 Mei. Dalam emel tersebut, saya sudah menyatakan dengan jelas bahawa meskipun keputusan untuk melepaskan kerakyatan Singapura merupakan satu pilihan, ia bukan niat Ben sama sekali kerana beliau ingin mewakili Singapura."

Encik Davis juga mengatakan bahawa beliau sudah memaklumkan dengan jelas bahawa beliau "100 peratus" bersetuju bahawa anaknya perlu menjalani Perkhidmatan Negara: "Seorang lagi anak lelaki saya sudahpun selesai menjalani NS dan kedua-dua Ben dan adik lelakinya Jai, ​​juga akan menamatkan NS masing-masing. Persoalannya adalah bilakah masanya kerana kami ingin memberikan peluang terbaik kepada Ben untuk bermain di peringkat profesional tertinggi di Britain dan Eropah.

"Sekiranya Ben tidak berjaya memperbaharui kontrak atau ditawarkan kontrak baru sebelum Mei 2020 maka beliau akan pulang untuk memenuhi kewajiban NS."

Menurut Encik Davis, beliau belum bertemu dengan sesiapa pun dari MINDEF dan tidak tahu akan apa yang dibentangkan oleh MCCY kepada MINDEF berhubung permintaan anaknya untuk menangguhkan NS.

Pemain midfield berusia 17 tahun itu sudah menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Fulham, sebuah kelab bola sepak yang baru dinaikkan ke Liga Perdana England (EPL). Beliau adalah rakyat Singapura pertama yang menandatangani kontrak profesional dengan sebuah kelab Inggeris dari divisyen pertama. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan