Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesetengah penjual intai peluang naikkan harga flat susuli geran baru HDB

Pasangan suami isteri berusia 60-an tahun yang sedang cuba untuk menjual flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka di Hougang tidak membuang masa untuk memanfaatkan perubahan pada flat-flat HDB.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah penjual intai peluang naikkan harga flat susuli geran baru HDB

(Gambar fail: Kevin Lam/Reuters)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 08:30AM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 08:37AM

SINGAPURA: Pasangan suami isteri berusia 60-an tahun yang sedang cuba untuk menjual flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka di Hougang tidak membuang masa untuk memanfaatkan perubahan pada flat-flat HDB - termasuk unit-unit jualan semula - untuk menjadikannya lebih dimampui bagi para pembeli kali pertama.

Sejurus selepas perubahan-perubahan dikuatkuasakan pada Rabu (11 Sep), pasangan itu meminta ejen hartanah mereka, Pengarah Kanan Pemasaran ERA Realty Davon Chai, supaya menaikkan harga yang diminta mereka dengan mendadak.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Chai berkata pasangan itu kini mahu beliau memasarkan flat lima bilik mereka pada harga S$550,000. Ini berbanding urus niaga bernilai S$480,000 bagi unit serupa yang terletak berhampiran.

Pasangan itu percaya bahawa mereka boleh menjual flat tersebut pada harga yang lebih lumayan bagi membolehkan mereka menetap di flat yang lebih kecil bagi meniti usia senja mereka, tambahnya.

Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang Dipertingkatkan menawarkan geran sehingga S$80,000.

Pada Selasa (10 Sep), Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan bahawa had pendapatan bagi mereka yang ingin membeli flat HDB juga akan dinaikkan.

Geran baru itu boleh digunakan untuk membeli semua jenis flat dan di mana-mana estet perumahan.

Ia menggantikan Geran Perumahan CPF Tambahan serta Geran Perumahan CPF Khas, yang tidak dapat digunakan untuk membeli flat lima bilik yang baru ataupun unit-unit baru di estet-estet matang.

'PEMBELI AKAN HILANG MINAT'

Sebilangan ejen hartanah berkata mereka sudahpun menerima pertanyaan daripada para penjual sama ada mereka boleh menaikkan harga.

Namun, tiada satu pun yang komited untuk melakukan demikian. Bagaimanapun, "langkah-langkah merebut peluang" itu mungkin tidak akan membuahkan hasil, menurut mereka.

"Ia sebenarnya menjadikannya lebih sukar untuk para ejen. Dengan geran-geran baru ini, kami harus berusaha untuk mengurangkan jurang antara harapan para pembeli (untuk membeli rumah yang lebih dimampui) dengan hasrat para penjual untuk meraih keuntungan (daripada geran-geran)," katanya.

Pengarah Kanan Pemasaran ERA Bhavina Kaur berkata: "Tentunya terdapat sesetengah penjual yang akan cuba untuk mengaut keuntungan dengan menaikkan harga ketika para pembeli berasa optimis.

"Bagaimanapun bagi mereka yang memahami keadaan pasaran, mereka tahu sekiranya harga yang diminta berbeza terlalu ketara dengan nilai pasaran, para pembeli akan mencari penjual yang lain."

'TIDAK BERSEDIA' BAYAR WANG TUNAI BAGI NILAI BERLEBIHAN

Cik Kaur berkata walaupun kebanyakan pembeli mungkin membeli flat-flat daripada para penjual yang menaikkan harga bagi meraih manfaat daripada geran baru itu, ia akan mengambil masa selama sekurang-kurangnya sebulan sebelum urus niaga itu dipaparkan dalam penilaian rasmi.

Ini penting kerana sesetengah pembeli akan menolak perjanjian itu sekiranya nilai flat terlalu tinggi, sekalipun S$5,000, kerana "mereka enggan membuat tokokan dalam bentuk wang tunai," katanya.

Pegawai Eksekutif Utama ERA Eugene Lim percaya bahawa langkah HDB meningkatkan bekalan pembeli flat jualan semula akan memanfaatkan para pembeli dan ejen hartanah.

Selain flat-flat jualan semula, permintaan bagi flat-flat baru juga mungkin meningkat memandangkan geran itu boleh digunakan bagi para pembeli dengan pendapatan bawah S$9,000 yang memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang baru di mana-mana estet perumahan.

Permohonan bagi flat-flat BTO yang baru di Punggol dan Tampines yang dilancarkan pada Rabu (11 Sep), juga mungkin amat tinggi disebabkan oleh geran baru itu, kata ketua kajian dan runding cara ERA, Nicholas Mak.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan