Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesetengah pelawat UK hadapi kesulitan masuk S'pura di bawah VTL

Sesetengah pelawat dari United Kingdom (UK) menghadapi kesukaran untuk memasuki Singapura di bawah skim Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) disebabkan oleh beberapa kelemahan tertentu pada sistem aturan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah pelawat UK hadapi kesulitan masuk S'pura di bawah VTL

Seorang pelawat mengimbas pasport sebelum memasuki Singapura (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 23 Nov 2021 11:11AM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 11:17AM

SINGAPURA: Sesetengah pelawat dari United Kingdom (UK) menghadapi kesukaran untuk memasuki Singapura di bawah skim Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) disebabkan oleh beberapa kelemahan tertentu pada sistem aturan tersebut.

Skim VTL, yang membenarkan perjalanan tanpa kuarantin ke Singapura, diperluaskan untuk merangkumi UK pada awal Oktober. Para pelawat mesti memenuhi syarat-syarat tertentu, seperti lengkap divaksin jika mereka berusia 12 tahun dan ke atas dan mempunyai bukti vaksinasi yang diiktiraf secara rasmi.

Bagaimanapun, para pelawat yang berusia 13 hingga 15 tahun tidak boleh mendapatkan Pas Penumpang Sudah Divaksin (VTP) untuk memasuki Singapura kerana mereka tidak mempunyai Pas COVID-19 Khidmat Kesihatan Nasional (NHS) yang boleh membuktikan status vaksinasi mereka. Kerajaan UK hanya mengeluarkan pas sedemikian kepada mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas.

Itulah masalah yang dihadapi keluarga Cik Helen Koh - khususnya, dua anak saudaranya berusia 15 tahun dan 13 tahun, yang kedua-duanya adalah pemegang pas jangka panjang yang cuba pulang ke Singapura untuk disatukan semula dengan bapa mereka selepas dua tahun terpisah.

“Mereka sudah divaksin sepenuhnya (dengan kedua-dua dos Pfizer-BioNTech). Anda hanya mahu, mendapatkan pas yang tidak tersedia di negara mereka sendiri, jadi kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan,” kata Cik Koh, 48 tahun.

Menurut Cik Koh, keadaan itu tidak masuk akal kerana kanak-kanak yang tidak divaksin dan berusia bawah 12 tahun dibenarkan menaiki penerbangan VTL.

“Mengapa menghukum kanak-kanak antara 13 hingga 15 yang sudah divaksin? Kami tidak faham logiknya."

BERDOLAK-DALIK

Menceritakan tentang surat-menyurat dengan pihak berkuasa, Cik Koh menambah bahawa keluarga itu sudah menyerahkan rekod vaksinasi untuk kanak-kanak tersebut, tetapi ia tidak diiktiraf.

"Mereka mempunyai doktor atau pembekal vaksin yang mengesahkannya pada rekod perubatan penuh ... tetapi kami diberitahu 'Oh, maaf, kerana mereka tidak mendapat pas, mereka tidak layak untuk VTL.'"

Dalam emel daripada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) kepada Cik Koh yang dilihat oleh Mediacorp, agensi itu menyatakan ia sedia maklum cabaran yang dihadapi untuk mendapatkan pas bagi kumpulan pelawat itu.

"Bagaimanapun, kami juga memohon pemahaman anda bahawa syarat untuk menyediakan bukti vaksinasi yang boleh kami sahkan demi VTL dan kesihatan awam," menurut emel itu.

Ia menambah bahawa pihak berkuasa "sentiasa berusaha untuk melibatkan lebih banyak pengeluar", dan mencadangkan mereka menghubungi pihak berkuasa UK yang mengeluarkan sijil atau menimbangkan kemungkinan menaiki penerbangan bukan VTL.

Penerbangan bukan VTL bukanlah satu pilihan untuk kanak-kanak tersebut, kerana ia akan mensyaratkan tempoh kuarantin selama tujuh hari yang akan memakan masa dalam tempoh cuti sekolah dua minggu setengah, jelas Cik Koh.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, CAAS menyatakan pihaknya sedia maklum Pas COVID-19 NHS hanya tersedia untuk mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas.

"Sekiranya ada remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang 'divaksin sepenuhnya' mengikut tafsiran Singapura, tetapi tidak boleh mendapatkan pas COVID-19 NHS, mereka boleh menulis kepada Pejabat Perjalanan Selamat menggunakan borang pertanyaan di sini dengan rekod vaksinasi digital mereka yang diambil daripada pangkalan data kesihatan awam pihak berkuasa kesihatan tempatan mereka."

Permohonan mereka akan disemak, tambahnya.

Menurut pihak berkuasa, warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) tidak memerlukan VTP. Para pelawat sedemikian boleh mengemukakan rekod vaksinasi digital mereka sebagai pengesahan di kaunter daftar masuk syarikat penerbangan sebelum berlepas dan sejurus tiba di Lapangan Terbang Changi.

ISU FORMAT NAMA DALAM DOKUMEN

Pelawat lain dari UK turut menghadapi masalah mendapatkan VTP kerana format nama yang berbeza-beza pada sistem kedua-dua negara.

Sijil vaksinasi NHS tidak meletakkan nama tengah (middle name) individu tersebut, menjadikannya tidak sepadan apabila dimuat naik bersama pasport yang memaparkan nama itu, kata para pelawat. Ini kemudian menghalang individu itu daripada menyerahkan permohonan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, CAAS menyatakan portal aplikasi VTP sudah dipertingkatkan untuk dapat mengenal pasti dan mengesahkan sijil vaksinasi yang tidak meletakkan nama tengah.

"Pelawat yang masih menghadapi masalah dengan permohonan VTP mereka boleh menulis kepada Pejabat Perjalanan Selamat menggunakan borang pertanyaan di sini dan mengemukakan sijil vaksinasi dan dokumen perjalanan mereka. Kami akan menyemak permohonan tersebut."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan