Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan siber SingHealth: Pesakit harap tidak jadi mangsa penipuan

Sebilangan pesakit menyuarakan kebimbangan bahawa maklumat peribadi mereka boleh digunakan untuk skim penipuan, susulan pengumuman pada Jumaat (20 Jul) yang mendedahkan data sekitar 1.5 juta pesakit SingHealth dicuri.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan siber SingHealth: Pesakit harap tidak jadi mangsa penipuan

Gambar fail Poliklinik Punggol (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 21 Jul 2018 04:45PM Dikemas Kini : 21 Jul 2018 04:53PM

SINGAPURA: Sebilangan pesakit menyuarakan kebimbangan bahawa maklumat peribadi mereka boleh digunakan untuk skim penipuan dan berharap sistem IT dapat diperkukuh untuk mengelakkan pencerobohan serupa pada masa depan.

Ini susulan pengumuman pada Jumaat (20 Jul) yang mendedahkan data sekitar 1.5 juta pesakit SingHealth termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, dicuri dalam serangan siber paling teruk di Singapura.

Maklumat itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat, jantina, kaum dan tarikh lahir.

Penyerang juga telah mengakses maklumat mengenai ubat-ubatan klinik pesakit luar seramai 160,000 pesakit, termasuk PM Lee, daripada jumlah 1.5 juta pesakit ini.

KHUATIR MAKLUMAT DIGUNA "UGUT AHLI KELUARGA"

"Agak memeranjatkan kerana Singapura dilihat sebagai sangat maju dalam bidang teknologi," kata pesakit di poliklinik SingHealth, Cik Lailatul Munira Zainal, 21 tahun, yang bekerja dalam industri F&B.

"Penggodam boleh gunakan maklumat peribadi kami untuk memeras ugut kita dan ahli keluarga, dan ini juga sebab mengapa begitu banyak penipuan Internet berlaku."

Beberapa pesakit lain berasa tidak terdaya melakukan apa-apa berhubung pencerobohan siber itu kerana mereka perlukan khidmat rawatan atau membeli ubat dari institusi-institusi SingHealth, termasuk Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Besar Changi (CGH) dan Pusat Mata Kebangsaan Singapura.

"(Maklumat) sejarah kesihatan saya semuanya terhubung dengan hospital awam," ujar pesakit di SGH, Nurzanna, 47 tahun.

Seorang pesakit di poliklinik yang bekerja dalam bidang keselamatan siber dan enggan namanya didedahkan, berpendapat bahawa maklumat yang digodam mempunyai "nilai wang yang banyak", terutamanya dalam 'dark Web', iaitu rangkaian siber tersembunyi yang sering dikaitkan dengan kegiatan haram.

Ini kerana maklumat yang dicuri menjejas jutaan orang, "termasuk Perdana Menteri kita", kata beliau.

"Ia boleh menjejas ekonomi kita juga."

SEBILANGAN KAKITANGAN TURUT KHUATIR

Sebilangan besar kakitangan SingHealth enggan memberi sebarang komen berhubung kejadian tersebut apabila dihampiri pihak Mediacorp.

Namun beberapa catatan di media sosial pada Jumaat menunjukkan bahawa buat sementara mereka disekat daripada menggunakan Internet, dalam apa yang digelar SingHealth sebagai "usaha berterusan" untuk memperkukuh sistem IT.

Seorang kakitangan poliklinik yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu Mediacorp: "Saya rasa hairan minggu lalu kerana semua orang diarahkan menukar kata laluan. Internet disekat hari ini. Ia tidak menjejas kerja seharian kerana kami masih mempunyai Intranet (namun) kami tidak tahu bila (akses akan dikembalikan."

"Saya tidak berapa risau tentang data dibocorkan, hanya saya harap tidak akan ada kes penipuan melibatkan data saya," tambah beliau.

Para pesakit SingHealth yang terjejas oleh pencerobohan data itu sudah mula menerima pesanan teks sejak malam semalam.

Mereka juga boleh memeriksa sendiri di lelaman SingHealth untuk memastikan sama ada mereka terjejas dengan insiden tersebut.


LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan