Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan pengganas Christchurch: Kenyataan senator Fraser Anning 'jelik', kata Shanmugam

Komen-komen yang dibuat oleh senator Australia Fraser Anning menyusuli serangan tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand adalah 'jelik' dan memaparkan rasa kebencian terhadap agama Islam, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan pengganas Christchurch: Kenyataan senator Fraser Anning 'jelik', kata Shanmugam

Gambar fail Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam. (Gambar fail: TODAYonline)

Diterbitkan : 16 Mar 2019 10:56AM Dikemas Kini : 16 Mar 2019 11:34AM

SINGAPURA: Komen-komen yang dibuat oleh senator Australia Fraser Anning menyusuli serangan tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand adalah 'jelik' dan memaparkan rasa kebencian terhadap agama Islam, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Jumaat (15 Mac).

Seramai 49 terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan tersebut, dengan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menyifatkan insiden semalam (15 Mac) sebagai 'hari paling gelap' bagi negara itu.

Menulis di laman Facebooknya pada Jumaat (15 Mac), Encik Shanmugam mengutuk keras serangan pengganas itu sebagai "pembunuhan beramai-ramai yang kejam".

"New Zealand adalah sebuah negara yang aman. Ia dianggap sebagai contoh bagi hubungan antara kaum," katanya. "Hari ini, ia menghadapi satu pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat ke atas 49 nyawa tidak berdosa."

"Beberapa jam kemudian, seorang senator Australia mengeluarkan satu kenyataan bersifat kebencian terhadap Islam, yang menyifatkan Islam sebagai agama ganas, fasis dan menggalak kepercayaan berunsur ganas," kata menteri itu.

"Beliau juga menyerang keperibadian Nabi dan menyalahkan imigrasi golongan Muslim atas pembunuhan tersebut."

Menteri itu menambah: "Kenyataan senator itu adalah jelik. Ia tidak dapat diterima sama sekali, dan beliau mengeluarkan kenyataan itu semasa orang ramai sedang berdukacita.

"Di beberapa bahagian di dunia, Islamofobia secara terang-terangan berlaku. Sangat menyedihkan."

Encik Shanmugam turut melahirkan sokongannya kepada para mangsa dan keluarga mereka.

"Doa kami bersama para mangsa dan keluarga mereka. Amat menyedihkan, orang-orang yang bersembahyang di masjid dibunuh."

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menyusuli serangan kejam itu, senator Queensland Fraser Anning berkata meskipun beliau mengutuk keras tindakan lelaki bersenjata itu, insiden berkenaan mencerminkan "keprihatinan yang semakin meningkat" mengenai jumlah pendatang Muslim di Australia dan New Zealand.

"Punca sebenar pembunuhan di New Zealand hari ini, adalah program imigrasi yang membolehkan orang Muslim untuk berhijrah ke New Zealand," kata senator itu dalam satu kenyataan.

Cik Ardern menyifatkan serangan pada Jumaat (15 Mac) itu sebagai pengganasan. Beliau berkata berdasarkan apa yang diketahui pihak berkuasa, serangan itu kelihatan "dirancang dengan teliti".

Penyerang itu menyiarkan secara langsung serangan tersebut di wadah media sosial, sedang beliau bergerak dari bilik ke bilik, sambil menembak mangsa-mangsa dari jarak dekat sedang mereka cuba untuk melarikan diri.

Lelaki rakyat Australia berusia 28 tahun itu sudahpun ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan