Images
  • christchurch
    Polis New Zealand mengepung jalan raya dekat sebuah masjid di Linwood, Christchurch. (Gambar: Mark Baker/AP)

Serangan pengganas amat kejam di Christchurch 'cuba pecah belahkan masyarakat', kata PM Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat (15 Mac) sebagai satu "percubaan untuk menyebarkan ketakutan dan kebencian, serta memecahbelahkan masyarakat".

Menulis di laman Facebooknya semalam (15 Mac), PM Lee melahirkan rasa amat terkejutnya terhadap serangan pengganas yang sangat kejam itu.

"New Zealand terletak jauh daripada pergolakan di Timur Tengah. Ia juga jauh dari Asia Tenggara dan kumpulan-kumpulan pengganas di rantau itu, namun ia tetap berdepan dengan serangan tersebut," katanya.

PM Lee berkata tragedi itu adalah satu peringatan suram bahawa pengganasan kekal sebagai satu ancaman serius di seluruh dunia, sambil menekankan bahawa Singapura mesti sentiasa berwaspada dan bersedia untuk menangani ancaman seumpama itu.

Dalam catatan Facebooknya, PM Lee juga berkata: "Tindakan kejam ini adalah satu percubaan untuk menyebarkan ketakutan dan kebencian, serta memecahbelahkan masyarakat.

"Kita harus bertindak secara bersatu padu, dengan ketabahan dan daya bingkas."


PM Lee juga menulis surat kepada rakan sejawatannya di New Zealand, Jacinda Ardern, bagi menyampaikan ucap takziah yang mendalam kepada keluarga para mangsa.

Beliau juga berkata Singapura mengutuk keras serangan pengganas kejam seumpama itu, sambil menambah bahawa rakyat Singapura berdiri teguh dengan rakyat New Zealand dalam masa-masa sukar ini.

PM Lee turut menasihati rakyat Singapura yang berada di Christchurch supaya berhati-hati dan terus berhubungan dengan keluarga mereka di Singapura.

Sementara itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan pada Jumaat (15 Mac) bahawa pihaknya sudah menghubungi semua rakyat Singapura yang membuat pendaftaran elektronik di Christchurch dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa New Zealand untuk memantau keadaan.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, anda boleh menghubungi:

Suruhanjaya Tinggi Singapura di Wellington:
Tel: +64-4-470-0850
Talian Kecemasan: +64-21-280-3161
Emel: singhc_wlg@mfa.sg

Pejabat Petugas MFA (24 jam)
Tel: +65 6379 8800/8855
Emel: mfa_duty_officer@mfa.gov.sg 

- BERITAmediacorp/ai

Top