Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan loji minyak Saudi: Adakah harga petrol di S'pura akan naik?

Para pemandu di Singapura yang bimbang bahawa serangan ke atas prasarana minyak Arab Saudi pada hujung minggu lalu mungkin menyebabkan harga petrol meningkat, mungkin tidak perlu berasa bimbang dahulu, menurut para penganalisis.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan loji minyak Saudi: Adakah harga petrol di S'pura akan naik?

Sebuah stesen minyak di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 Sep 2019 12:31PM Dikemas Kini : 19 Sep 2019 12:34PM

SINGAPURA: Para pemandu di Singapura yang bimbang bahawa serangan ke atas prasarana minyak Arab Saudi pada hujung minggu lalu mungkin menyebabkan harga petrol meningkat, mungkin tidak perlu berasa bimbang dahulu, menurut para penganalisis.

"Jika Arab Saudi memperbaiki dengan cepat kemudahan-kemudahannya dan harga Brent kembali kepada antara AS$60 (S$82) hingga AS$65 (S$89) setong, harga di stesen-stesen minyak tidak mungkin berubah secara mendadak," kata pakar ekonomi OCBC Howie Lee.

"Sebaliknya, jika harga minyak yang tinggi berterusan, maka harga petrol lebih berkemungkinan meningkat," tambahnya.

KENAIKAN HARGA DIDORONG BEBERAPA FAKTOR

Harga petrol gred 95-oktana yang paling popular adalah di antara S$2.29 hingga S$2.31 seliter sebelum potongan harga di Caltex, Shell dan Singapore Petroleum Company (SPC), berdasarkan harga-harga yang dipaparkan dalam laman web mereka pada Rabu (18 Sep) malam.

Harga gred 98-oktana premium pula adalah di antara S$2.63 hingga S$2.72 manakala harga diesel dilihat dalam lingkungan antara S$1.87 dengan S$1.92.

Di SPC dan Caltex, minyak petrol 92-oktana dijual masing-masing pada harga S$2.25 dan S$2.27 untuk satu liter.

Berbanding Jumaat (13 Sep) lalu, setiap kategori petrol menyaksikan kenaikan harga antara 2 hingga 4 sen tetapi para penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa kenaikan itu tidak mungkin berpunca daripada serangan terhadap kemudahan minyak mentah Arab Saudi.

Apabila dihubungi oleh Mediacorp, syarikat-syarikat petrol menyatakan strategi harga mereka didorong oleh pelbagai faktor termasuk dinamik persaingan.

ExxonMobil menyatakan harga-harga minyak di rangkaian stesen khidmatnya "sejajar dengan keadaan pasaran semasa" setelah membuat "beberapa penyesuaian harga dalam tempoh dua bulan lalu dengan gabungan langkah menaikkan dan menurunkannya sebelum lonjakan harga minyak mentah baru-baru ini".

Syarikat itu menambah ia akan terus memberi tambahan nilai kepada para pelanggannya menerusi program ganjarannya serta kegiatan promosi yang lain.

Chevron, yang mengendalikan jenama Caltex di sini, menyatakan: "Kami menghargai pelanggan-pelanggan kami dan sangat percaya dalam menawarkan produk-produk pada harga yang adil, munasabah dan berdaya saing."

Dari segi bekalan, syarikat tersebut mendapatkan bekalan minyak mentah daripada pelbagai pembekal global.

"Kami sedang memantau keadaan dan akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu untuk terus memenuhi permintaan di pasaran," tambah jurucakap syarikat itu.

Shell enggan memberi ulasan manakala SPC tidak segera menjawab pertanyaan.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan