Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serang rumah jiran dengan pisau pemotong daging, wanita ditembak dengan renjatan elektrik

Seorang wanita berusia 61 tahun diberkas pada Hari Krismas selepas dia menyerang rumah jirannya dengan sebilah pisau pemotong daging kerana bunyi bising dari flat tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Serang rumah jiran dengan pisau pemotong daging, wanita ditembak dengan renjatan elektrik

Petikan gambar dari video yang merakam kejadian. (Gambar: All Singapore Stuff/Facebook)

Diterbitkan : 27 Dec 2018 12:12AM Dikemas Kini : 27 Dec 2018 12:17AM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 61 tahun diberkas pada Hari Krismas selepas dia menyerang rumah jirannya dengan sebilah pisau pemotong daging kerana bunyi bising dari flat tersebut.

Polis memberitahu Mediacorp bahawa ia bertindak terhadap kes ugut di Blok 157 Serangoon North Avenue 1 pada jam 4.00 pagi pada 25 Dis.

Insiden berlaku apabila seorang wanita ke rumah jirannya untuk mengadu tentang bunyi bising. Jirannya kemudian menelefon polis.

"Apabila polis tiba, wanita itu kelihatan mengetuk-ngetuk pagar dan tingkap unit dengan pisau pemotong daging," menurut polis. "Para pegawai polis mengarahkannya supaya melepaskan pisau pemotong daging itu tetapi dia enggan memberi kerjasama."

"Seorang pegawai polis akhirnya menggunakan senjata renjatan elektrik kerana wanita itu terus bertindak kasar dan enggan bekerjasama, meletakkan dirinya dan juga orang lain dalam bahaya," menurut polis.

Ia menambah: "Pisau pemotong daging itu terlepas dari genggaman wanita tersebut sedang dia jatuh ke lantai apabila tubuhnya terkena arus elektrik. Namun, dia berdiri kembali selepas itu dan terus-menerus menolak dirinya diberkas.

"Memandangkan wanita itu tidak lagi memegang senjata dan atas faktor usia, para pegawai berhenti menggunakan senjata renjat itu mahupun cuba memberkasnya dengan cara kasar. Sebaliknya, polis memintanya untuk bekerjasama."

Wanita itu akhirnya bersetuju, menurut polis, dan diberkas kerana mengugut. Dia dibawa ke Hospital Besar Sengkang, di mana seorang doktor mengesahkan dia tidak cedera. Wanita terbabit dibebaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama.

Satu video yang dikongsi secara meluas - mungkin dirakam seseorang dalam flat yang diserang - menunjukkan seorang wanita berdiri di koridor sebuah blok HDB.

Rakaman itu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga pegawai polis, di koridor yang sama, meminta wanita itu supaya bertenang.

Wanita itu tidak mengendahkan amaran polis dan terus menggunakan apa yang kelihatan seperti pisau pemotong daging untuk memecahkan tingkap sebuah flat. Bunyi kaca berkecai boleh kedengaran.

Tidak lama kemudian, bunyi senjata renjatan elektrik kedengaran. Rakaman itu selanjutnya menunjukkan seorang wanita terbaring di atas lantai.

Polis masih menjalankan siasatan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan