Images
  • ppl (1)
    (Gambar: Jeremy Long)

Separuh rakyat S'pura alami sekurang-kurangnya satu insiden siber sejak setahun lalu

SINGAPURA: Amalan keselamatan siber rakyat Singapura masih lagi boleh dipertingkatkan, menurut Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA).

Hasil tinjauan Kesedaran Awam Keselamatan Siber 2018 yang didedahkan pada Rabu (11 Sep) menunjukkan hampir separuh atau 48 peratus responden pernah mengalami sekurang-kurangnya satu insiden siber dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Insiden-insiden siber termasuk kejadian digodam, data dicuri atau banyak iklan yang muncul secara tiba-tiba di layar utama. Iklan-iklan 'pop-up' sebegini adalah tanda serangan perisian hasad, menurut CSA dalam kenyataan medianya.

Lebih 36 peratus responden dilaporkan menerima pelbagai iklan setelah melungsuri beberapa lelaman manakala 15 peratus berkata bahawa mereka merupakan pelanggan sebuah pertubuhan yang datanya dicuri - dua insiden siber utama dilaporkan dalam tinjauan tersebut.

Bagi mereka yang menjadi mangsa, 66 peratus menyatakan bahawa mereka sudah menukar kata laluan mereka manakala 44 peratus memberitahu bahawa mereka sudah melaporkannya kepada pertubuhan terbabit.

Tinjaun itu mendapati bahawa 36 peratus responden menyatakan bahawa mereka sudah memuat turun sofwe antivirus sebagai langkah perlindungan manakala 31 peratus melaporkan insiden itu kepada pihak polis. Satu daripada setiap 10 orang berkata bahawa mereka tidak mengambil tindakan, tambahnya.

Walaupun ramai responden prihatin mengenai insiden keselamatan siber, sebahagiannya tidak percaya mereka akan menjadi mangsa.

Sebagai contoh, 84 peratus responden berkata bahawa mereka prihatin mengenai kemungkinan komputer mereka diambil alih oleh para penggodam secara haram, tetapi hanya 36 peratus responden berasa bahawa ia mungkin akan berlaku kepada diri mereka.

Selain itu, 84 peratus responden prihatin maklumat kewangan mereka akan diperolehi orang lain tanpa izin, tetapi hanya 39 peratus responden berasa mereka akan menjadi mangsa.

- CNA/NA/na

Top