Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sentuhan Ramadan 2019 galak rahmah dengan jiran tetangga; pupuk sifat inklusif dalam masyarakat

Kempen Sentuhan Ramadan tahun ini bermatlamat mendorong umat Islam di Singapura untuk mengongsi semangat Ramadan dengan jiran tetangga serta masyarakat di sekeliling mereka sambil memupuk perpaduan sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Sentuhan Ramadan 2019 galak rahmah dengan jiran tetangga; pupuk sifat inklusif dalam masyarakat

Kempen Sentuhan Ramadan tahun ini bermatlamat mendorong umat Islam di Singapura untuk mengongsi semangat Ramadan dengan jiran tetangga. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Kempen Sentuhan Ramadan tahun ini bermatlamat mendorong umat Islam di Singapura untuk mengongsi semangat Ramadan dengan jiran tetangga serta masyarakat di sekeliling mereka sambil memupuk perpaduan sosial.

Bertemakan 'Sebarkan Rahmah: Ramadan bersama Jiran. Raikan bersama Keluarga dan Masyarakat', kempen tahun ini menggesa umat Islam membangkitkan semangat rahmah dengan melibatkan sama keluarga dan masyarakat terdekat sempena bulan puasa ini.

Fokus kempen tahun ini yang menjurus kepada aspek kejiranan mendapat inspirasi daripada ajaran dan amalan Nabi Muhammad yang menggalak nilai murni dan membina pertalian kukuh dalam masyarakat dari segi Mengukuhkan Agama, Sifat Penyayang kepada semua dan Mendakap Kepelbagaian.

Pengerusi Eksekutif Masjid Assyafaah selaku pengerusi kempen tahun ini Izuan Mohamed Rais berkata: "Tema tahun ini merupakan satu tema yang inklusif untuk mendekatkan kita kepada masyarakat kita terutama sekali mereka yang berdekatan dengan kita iaitu keluarga dan jiran kita.

"Jiran tetangga kita merupakan orang yang terpenting dalam kehidupan kita. Bersesuaian dengan itu, tema tahun ini adalah untuk kita meraikan Ramadan bersama jiran-jiran kita dan selanjutnya bersama masyarakat yang di sekelilingnya."

'RAIKAN RAYA' CIRI BARU KEMPEN

Salah satu ciri baru kempen Sentuhan Ramadan tahun ini adalah program Raikan Raya yang bertujuan membantu 200 keluarga berpendapatan rendah.

Ia membolehkan mereka meraikan Hari Raya sambil mengambil langkah kukuh untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Bakal dianjurkan pada 19 Mei, Raikan Raya adalah kolaborasi M3, yang turut menerapkan Projek Positive MENDAKI, siri bengkel Shiok MESRA dan ilmu kerohanian kelolaan MUIS.

"Kita harap mereka dapat mengambil inisiatif sendiri selanjutnya untuk meningkatkan diri mereka menerusi kursus-kursus yang ada dijalankan oleh pemerintah.

"Kita menggalakkan mereka untuk mendaftarkan diri mereka dengan kursus-kursus yang ada seperti daripada kelab-kelab masyarakat, menerusi program-program yang dianjurkan oleh MESRA, serta program-program MENDAKI," kata Encik Izuan.

Para peserta juga akan diberi baucar untuk membeli baju baru bagi mereka dan keluarga mereka sempena Lebaran.

Sehubungan itu, pek Sumber Ramadan juga dihasilkan bagi rakan kerja M3 untuk memberi mereka panduan, dengan mereka khas program berbuka puasa dalam masyarakat.

Usaha tersebut juga bagi membina pemahaman dan perpaduan sosial menjangkaui masjid-masjid di sini.

TABUNG RAHMAH DIPERLUAS TAHUN INI

Antara program yang ditingkatkan bagi kempen tahun ini termasuk Tabung Rahmah, yang menggalak kanak-kanak sekolah menderma sebahagian wang saku dan duit Raya mereka kepada kanak-kanak lain yang kurang berkemampuan.

Tahun ini, projek yang menyalurkan wang berkenaan kepada Dana Wang Saku Sekolah ST akan diperluaskan di luar tadika-tadika masjid dan program aLIVE.

Malah, murid-murid madrasah dan rakan kerja M3 dalam Skim Tuisyen MENDAKI dan Homework Cafe MENDAKI juga akan turut serta kali ini.

Secara keseluruhannya, 30,000 pelajar disasarkan bagi mengumpul dana sebanyak $150,000.

KEGIATAN LAIN YANG DIPERLUASKAN

Buat pertama kalinya juga, Quran Hour bakal menyaksikan jemaah kesemua masjid menghafaz al-Quran selepas waktu berbuka di merata Singapura.

Sempena World Quran Hour pada 30 Mei ini, umat Islam juga akan ikut serta dalam acara tersebut selepas berbuka puasa.

Sebanyak 16 masjid bakal menyertai usaha kehidupan sihat dengan kerjasama MUIS dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) - jumlah tertinggi setakat ini.

Masjid-masjid yang terlibat akan mencampurkan beras perang, yang diagihkan HPB, dengan beras biasa semasa menghidangkan bubur untuk berbuka serta menyediakan sirap rendah gula dan air putih.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai impak tindakan manusia terhadap alam sekitar, masjid-masjid juga menggalak penggunaan sudu garpu yang boleh diguna semula.

Semua masjid juga diingatkan supaya mengurangkan sisa makanan dengan merancang program dan menu mereka dengan teliti serta mengurangkan penggunaan air dan elektrik.

Sebuah drama pendek khas tentang Ramadan dengan tema "Share the Love This Ramadan" atau 'Kongsikan Rasa Sayang Ramadan Ini' akan dikongsikan di saluran YouTube dan Facebook Muslim.Sg.

Selain menyelami kehidupan Muslim milenial sepanjang Ramadan, ia juga menyentuh bagaimana semangat rahmah disebarkan kepada semua termasuk jiran tetangga.

Satu siri dokumentari televisyen empat episod "Jangan Abaikan Mereka” mengenai usaha MUIS membantu golongan yang memerlukan, juga akan ditayangkan di Suria setiap Jumaat pada 9.00 malam.

Program-program lain yang bakal dianjurkan tahun ini termasuk Cabaran Belia Ramadan (RYC) dari 24 hingga 26 Mei dan Night of Power (NOP) pada 31 Mei.

Kelas-kelas pendidikan Islam juga akan diadakan secara percuma di 19 buah masjid sepanjang Ramadan ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan