Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua pusat PCF ditutup 4 hari; 14 kakitangan termasuk pengetua dijangkiti COVID-19

 Semua pusat Yayasan Masyarakat PAP (PCF) akan ditutup selama empat hari mulai Khamis (26 Mac) setelah 14 kakitangan daripada pusat prasekolah PCF Sparkletots di Fengshan diuji positif COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua pusat PCF ditutup 4 hari; 14 kakitangan termasuk pengetua dijangkiti COVID-19

Gambar fail PCF Sparkletots (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Mar 2020 08:09AM Dikemas Kini : 26 Mar 2020 08:15AM

SINGAPURA: Semua pusat Yayasan Masyarakat PAP (PCF) akan ditutup selama empat hari mulai Khamis (26 Mac) setelah 14 kakitangan daripada pusat prasekolah PCF Sparkletots di Fengshan diuji positif COVID-19.

Antara kakitangan yang dijangkiti virus itu adalah pengetua pusat berkenaan, menurut kenyataan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Pengetua tersebut dalam keadaan sihat ketika beliau bertugas pada 17 Mac, namun mengalami simptom pada hari yang sama, kata seorang jurucakap ECDA.

"Pada hari tersebut, beliau mengadakan mesyuarat bersama kakitangannya dan kemudian menghadiri kursus bersama seorang lagi kakitangan prasekolah pada sebelah petang.

"Pengetua itu berjumpa doktor pada keesokan hari pada 18 Mac dan mengambil cuti sakit hingga 20 Mac," kata jurucakap berkenaan.

Kebanyakan kakitangan lain yang diuji positif bagi COVID-19 mula mengalami simptom mulai 20 Mac dan pada hujung minggu lalu, menurut ECDA.

Mereka yang dijangkiti termasuk kedua-dua tenaga pengajar dan bukan pengajar.

Agensi itu turut mendedahkan bahawa empat daripada anggota keluarga pengetua berkenaan, yang tidak tinggal serumah dengannya, juga diuji positif pada 23 Mac dan 24 Mac. Pengesanan kontak oleh Kementerian Kesihatan (MOH) kini sedang dijalankan.

Pada Rabu (25 Mac), Singapura melaporkan 73 kes baru COVID-19. Pusat PCF Sparkletots di Fengshan diumumkan sebagai kelompok baru, dikaitkan dengan 18 kes secara keseluruhannya.

MURID-MURID, KAKITANGAN DIKUARANTIN

Semasa penutupan pusat-pusat PCF antara 26 Mac dengan 29 Mac, PCF akan "menyemak semula dan menekankan lagi langkah berjaga-jaga yang dipertingkatkan bersama para kakitangan serta menjalankan pembersihan secara menyeluruh dan pembasmian kuman di semua premisnya," menurut ECDA.

Pusat PCF Sparkletots di Blok 126 Fengshan itu akan ditutup selama dua minggu.

MOH juga mengarahkan semua murid an kakitangan yang hadir di pusat PCF di Fengshan itu antara 16 Mac dengan 24 Mac untuk menjalani kuarantin, menurut ECDA lagi.

"ECDA sedang memantau situasi dengan rapi, dan bekerjasama dengan pihak pengurusan, kakitangan, ibu bapa dan kanak-kanak... bagi menjaga keselamatan dan kebajikan semua," tambah agensi tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Rabu malam (25 Mac), Ketua Pegawai Eksekutif PCF Victor Bay berkata beliau "memohon maaf kepada semua ibu bapa yang anak-anak mereka berdaftar dengan PCF atas kesulitan yang disebabkan oleh penutupan itu."

"Kami akan menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat hal ini dan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya jika perlu," katanya.

"Sepanjang tempoh penutupan ini, selain daripada mendapatkan khidmat agensi pembersihan profesional untuk menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman, sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh di semua pusat kami, kami juga akan mengadakan kursus ulang kaji bagi amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan untuk semua kakitangan kami.

"Kami juga akan meyemak semula Piawai Operasi Standard (SOP) untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dan memperkukuhkan proses bagi memastikan pematuhan menyeluruh," tambah Encik Bay lanjut.

Menurut ECDA, sejak Januari ia sudah bekerjasama dengan para pengendali prasekolah untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga yang dipertingkatkan di sekolah-sekolah.

"Ini termasuk menghadkan jumlah pengunjung, menggantung perhimpunan dan kegiatan besar-besaran serta lawatan sambil belajar, pemeriksaan kesihatan dan meningkatkan pemeriksaan suhu badan bagi semua murid-murid dan guru," tambah kenyataan itu.

Para kakitangan prasekolah juga dinasihatkan supaya segera berjumpa doktor dan tidak ke sekolah jika mereka berasa kurang sihat, dan para pengendali prasekolah juga dinasihatkan supaya menghadkan pengerahan kakitangan ke pusat-pusat yang berbeza.

ECDA menambah langkah mengamalkan jarak selamat juga diperkenalkan dengan pengumuman terkini pada 24 Mac.

GURU DIJANGKITI TIDAK KE LUAR NEGARA: CHERYL CHAN

Guru kelas Tadika 2 yang dijangkiti COVID-19 dari pusat PCF Sparkletots di Fengshan tidak ke luar negara mahupun menunjukkan simptom ketika berada di sekolah.

Beliau juga tidak mempunyai sebarang anggota keluarga yang dijangkiti virus tersebut, kata Anggota Parlimen (AP) bagi Fengshan, Cheryl Chan pada Rabu.

Cik Chan menyatakan dalam catatannya di Facebook bahawa ia bukanlah "satu serkap jarang". 'Ia mengenai mendapatkan fakta yang betul dan membantu menghuraikan situasi," tegas beliau.

"Di semua pusat jagaan kanak-kanak kami, kami mengambil semua langkah berjaga-jaga sewajarnya kerana mereka memahami betapa pentingnya keselamatan, kebersihan dan mereka perlu menguruskan kanak-kanak," kata Cik Chan.

"Hakikatnya guru itu tidak menyedari bahawa beliau dijangkiti virus itu dan kini individu lain di pusat tersebut berisiko dijangkiti."

Menurut Cik Chan, penutupan pusat itu adalah "perkara betul untuk dilakukan demi kepentingan murid-murid dan masyarakat."

"Guru itu sendiri berasa bersalah kerana telah menyebabkan kesulitan sebegitu. Tetapi ia bukan kesilapannya. Beliau juga, sedang melawan virus itu."

Cik Chan turut menggalak ibu bapa supaya memantau kesihatan anak-anak mereka dalam masa beberapa hari akan datang.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan