Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua pengunjung yang tiba di S'pura dari China akan jalani imbasan suhu badan

Imbasan suhu badan di Lapangan Terbang Changi akan diperluaskan kepada semua pengunjung yang tiba dari China, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (20 Jan) sedang satu virus baru yang berasal dari Wuhan dilaporkan sudah merebak ke bandar-bandar lain di China.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua pengunjung yang tiba di S'pura dari China akan jalani imbasan suhu badan

Pemeriksaan suhu menerusi layar skrin dijalankan di Lapangan Terbang Changi bagi para pelancong dari Wuhan. (Gambar: Khaw Boon Wan/Facebook)

Diterbitkan : 20 Jan 2020 10:08PM Dikemas Kini : 07 Feb 2020 04:24PM

SINGAPURA: Imbasan suhu badan di Lapangan Terbang Changi akan diperluaskan kepada semua pengunjung yang tiba dari China, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (20 Jan) sedang satu virus baru yang berasal dari Wuhan dilaporkan sudah merebak ke bandar-bandar lain di China.

Di samping itu, individu yang menghidap pneumonia atau radang paru-paru yang pernah melakukan perjalanan ke Wuhan dalam tempoh 14 hari sebelum muncul simptom, akan diasingkan di hospital.

Langkah berjaga-jaga yang dipertingkat ini dilaksanakan sebagai respons kepada peningkatan kes pneumonia virus korona novel dan jangkaan bahawa jumlah perjalanan menjelang cuti Tahun Baru China akan meningkat, menurut MOH.

Orang ketiga telah disahkan meninggal dunia dan 136 kes baru dikesan hujung minggu lalu di Wuhan, tempat asal virus itu. Kes-kes juga dilaporkan di bandar-bandar lain China termasuk Beijing.

Korea Utara pada Isnin melaporkan kesnya yang pertama - seorang wanita 35 tahun yang melakukan perjalanan dari Wuhan. Thailand dan Jepun sebelum ini mengesahkan tiga kes.

Langkah-langkah yang diperluas itu adalah tambahan kepada langkah-langkah pencegahan lain yang sudah dilaksanakan MOH sejak awal Januari, dengan pemeriksaan suhu badan dilaksanakan dari 3 Jan bagi para pengunjung yang tiba dari Wuhan.

Kes-kes yang disyaki sudah dirujuk ke hospital untuk penilaian lanjut, dan Poster Nasihat Kesihatan juga diletakkan di Lapangan Terbang Changi untuk menasihati semua pengunjung tentang langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil semasa melakukan perjalanan ke Wuhan atau pulang.

ENAM DIUJI NEGATIF

Sejak permulaan tahun ini, tujuh orang di Singapura dimasukkan ke hospital dan diuji selepas didapati mengalami pneumonia dan pernah melakukan perjalanan ke Wuhan.

Enam daripada kes tersebut diuji negatif bagi virus korona dan tiada kaitan dengan kelompok penularan di Wuhan, menurut MOH.

Setakat 10 pagi pada Isnin, kementerian itu dimaklumkan tentang kes terbaru, yang melibatkan penduduk Singapura berusia 44 tahun dengan radang paru-paru dan sejarah perjalanan ke Wuhan.

"Beliau dimasukkan ke hospital untuk penilaian lanjut dan rawatan, dan diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga. Keadaannya stabil," tambah MOH.

Wanita itu tidak pernah melawat pasar borong makanan laut Huanan di Wuhan yang dikaitkan dengan penularan itu.

"Setakat ini, tiada virus korona novel yang dilaporkan dilaporkan di Singapura. Bagaimanapun, memandangkan Singapura adalah hab perjalanan, kami menjangkakan akan melihat lebih banyak kes disyaki, dan tidak dapat menolak kemungkinan kes yang diimport," tambah MOH.

"Sebaik sahaja satu kes disahkan, pengesanan orang-orang yang berhubung rapat dengan pesakit akan dimulakan, dan kami akan melaksanakan langkah pengasingan, kuarantin, serta langkah kawalan dan pencegahan jangkitan untuk mencegah penularan lanjut."

MOM juga pada 20 Januari mengeluarkan peringatan buat hospital-hospital dan para doktor keluarga agar berwaspada terhadap kes-kes dengan pneumonia yang melakukan perjalanan ke Wuhan baru-baru ini.

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan melaksanakan amalan kebersihan diri yang baik. Semua pengunjung ke Wuhan digesa agar memantau kesihatan mereka dengan teliti dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka merasa tidak sihat, dan juga memaklumkan kepada doktor tentang sejarah perjalanan mereka.

Pelancong dan orang awam juga digesa mengambil langkah berjaga-jaga berikut pada setiap masa:

  • Elakkan bersentuhan dengan haiwan hidup termasuk ternakan dan burung, dan pengambilan daging mentah dan kurang masak
  • Elakkan berhubung rapat dengan orang yang tidak sihat atau menunjukkan simptom penyakit
  • Laksanakan amalan kebersihan diri yang baik
  • Kerap mencuci tangan dengan sabun (contoh: Sebelum mengendalikan makanan atau makan, setelah pergi ke tandas, atau apabila tangan kotor akibat batuk atau bersin)
  • Pakai pelitup jika anda mempunyai simptom pernafasan seperti batuk atau hidung berhingus
  • Tutup mulut anda dengan kertas tisu apabila batuk atau bersin, dan buang kertas tisu yang kotor di tong sampah dengan segera; dan
  • Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika anda berasa tidak sihat.
Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan