Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua pelajar sekolah menengah akan miliki peranti pembelajaran digital jelang 2028

Menjelang 2028, semua pelajar sekolah menengah akan memiliki peranti pembelajaran peribadi yang boleh dibayar menggunakan Edusave sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mempertingkatkan tahap celik digital dalam kalangan pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Mar 2020 03:08PM Dikemas Kini : 04 Mar 2020 09:25PM

SINGAPURA: Menjelang 2028, semua pelajar sekolah menengah akan memiliki peranti pembelajaran peribadi yang boleh dibayar menggunakan Edusave sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mempertingkatkan tahap celik digital dalam kalangan pelajar di bawah Program Celik Digital Kebangsaan yang baru.

Program tersebut akan dilaksanakan secara bertahap-tahap dari Jun 2020, bermula dengan kohort Menengah 1, menurut Menteri Pendidikan Ong Ye Kung yang mengumumkannya di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan pada Rabu (4 Mac). Matlamatnya supaya semua pelajar Menengah 1 mempunyai peranti pembelajaran peribadi yang disarankan oleh pihak sekolah menjelang 2024 dan untuk semua pelajar sekolah menengah memiliki peranti sedemikian menjelang 2028.

Beliau menambah bahawa kebanyakan pelajar mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun Edusave mereka untuk membayar kos peranti tersebut.

BANTUAN TAMBAHAN BAGI PELAJAR MEMERLUKAN

Bagi memastikan semua pelajar mampu membeli sebuah peranti, MOE akan menawarkan tokokan sekali saja sebanyak S$200 ke dalam akaun Edusave semua pelajar sekolah rendah dan menengah warga Singapura yang layak, baik sekolah aliran utama mahupun sekolah menengah yang menawarkan Pendidikan Khas.

Jumlah ini tidak termasuk sumbangan Edusave tahunan sebanyak S$290 untuk pelajar sekolah menengah dan S$230 untuk murid sekolah rendah.

Para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah juga akan menerima subsidi tambahan supaya mereka tidak perlu membiaya sendiri pembelian peranti tersebut.

Bagi mengelakkan pelajar daripada menyalahgunakan peranti tersebut, sofwe pengurusan peranti akan dipasang pada setiap peranti. Ini akan membolehkan guru untuk mengawal bagaimana peranti itu digunakan serta memantau bagaimana pelajar menggunakan peranti tersebut, menurut kenyataan MOE.

Peranti ini juga akan digunakan seiring dengan Ruang Pembelajaran Pelajar Singapura (SLS).

PROGRAM PENGEKODAN, PENGKOMPUTERAN DIPERLUAS

Setakat ini, terdapat lapan sekolah menengah yang mengadakan kelas seperti ini, kata Encik Ong.

Beliau menambah: "Tujuannya bukan untuk membuat pelajar belajar sepenuhnya secara online dan tidak perlu bersekolah. Mutu dan hasil e-pembelajaran tidak akan setanding dengan persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah bersama guru, rakan, CCA, dan persekitaran sosial."

Di peringkat sekolah rendah, MOE merancang untuk memperluaskan program 'Code for Fun' di mana semua pelajar sekolah rendah akan menjalani program pengayaan selama 10 jam bermula 2020.

Kementerian tersebut juga akan memperluaskan mata pelajaran pengkomputeran Peringkat GCE O dan A ke lapan sekolah menengah dan dua lagi maktab rendah. Buat masa ini, 22 sekolah menengah dan lapan maktab rendah masing-masing menawarkan mata pelajaran itu.

PERKUKUH PENDIDIKAN KESEJAHTERAAN SIBER

MOE juga akan mempertingkatkan pendidikan kesejahteraan siber di bawah Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) yang sudah dipertingkatkan dan akan diperkenalkan pada 2021.

Semakan menyeluruh sukatan pelajaran CCE dimulakan pada 2016, kata Encik Ong, yang menambah bahawa ini perlu kerana generasi muda hari ini lebih terdedah kepada teknologi berbanding generasi terdahulu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, pengarah divisyen pembangunan pelajar MOE Cik Tan Chen Kee berkata:

"Konsep kesejahteraan siber juga boleh disepadukan secara semula jadi ke dalam pelajaran yang melibatkan topik CCE lain. Sebagai contoh, semasa pelajaran tentang menangani tekanan rakan sebaya, pelajar juga akan belajar mengenai kesan tekanan rakan sebaya online dan bagaimana untuk menanganinya. "

KESIHATAN MENTAL DIBERI TUMPUAN

Secara berasingan, kurikulum baru CCE baru juga akan memberi tumpuan yang lebih khusus kepada kesihatan mental, kata Encik Ong.

Di bawah rejim baru, pendidikan kesihatan mental akan diajar secara lebih fokus di sekolah-sekolah.

Pelajar akan memahami masalah kesihatan mental dan gejala-gejalanya, tahu bila dan bagaimana untuk mendapatkan sokongan dan berasa simpati dan ambil peduli terhadap orang yang mengalami penyakit mental.

Untuk melengkapi usaha ini, semua sekolah juga akan mempunyai struktur sokongan rakan sebaya menjelang 2022.

Ini adalah untuk mengupayakan pelajar secara aktif untuk mempelajari bagaimana untuk menyokong antara satu sama lain secara emosi dan sosial, memupuk kesejahteraan mental dan menyokong persekitaran yang lebih menyokong, sementara masih mempunyai guru dan kaunselor sekolah sebagai tempat rujukan bagi isu-isu tersebut, jelas MOE.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan