Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua orang perlu main peranan tangani isu kesihatan mental, bukan pemerintah sahaja

Usaha-usaha Pemerintah sahaja tidak cukup untuk menangani isu-isu kesihatan mental, sebaliknya semua orang perlu memainkan peranan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha-usaha Pemerintah sahaja tidak cukup untuk menangani isu-isu kesihatan mental, sebaliknya semua orang perlu memainkan peranan.

Ibu bapa, menurut Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam, memainkan peranan asas dalam pembangunan anak-anak.

Jadi dengan menyokong kesihatan mental ibu bapa, masyarakat juga menyokong kesejahteraan mental, sosial dan emosi anak-anak.

Cik Rahayu berkata demikian di webinar Menyokong Kesejahteraan Mental Keluarga Anda anjuran AMP dan Pusat Kebapaan (CCF) pada Sabtu (25 Sep).

Sesi itu bertujuan melengkapkan para ibu bapa dengan pengetahuan meningkatkan kesihatan mental dalam keluarga.

Dua penceramah undangan, pakar pendidikan Dr Bibi Jan Mohd Ayyub dan ahli psikologi klinikal kanan Haikal Jamil antara lain berkongsi, betapa ibu bapa perlu mewujudkan sekitaran di rumah yang positif dan penuh sokongan selain menetapkan matlamat kehidupan yang jelas bagi keluarga mereka.

Mereka dan Cik Rahayu juga menarik perhatian bagaimana pandemik COVID-19 mampu membawa stres negatif kepada setiap individu tidak kira ibu bapa atau anak-anak.

"Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh memandang rendah pengaruh kesejahteraan mental kita pada anak-anak kita," kata Cik Rahayu dalam ucapannya.

"Perbualan seharian dengan anak-anak akan mewujudkan peluang untuk mereka memperbaiki kemahiran penting, seperti memupuk harga diri, bertanggungjawab terhadap tindakan mereka, dan berkomunikasi dengan orang lain dengan penuh empati dan berkesan."

Mengimbas usaha-usaha Pemerintah yang sedang dijalankan, Cik Rahayu berkata bahawa sejak Januari tahun ini Pasukan Bertindak Antara Agensi mengenai Kesihatan Anak dan Ibu Mengandung sedang memikirkan bagaimana untuk menawarkan sokongan lebih bersepadu dan menyeluruh untuk menyokong keluarga dan kanak-kanak.

Ia akan dibentuk menerusi satu strategi lima tahun.

Antara lain ia akan menggunakan dapatan-dapatan berdasarkan bukti untuk dijadikan dasar dan program-program bagi usaha-usaha kesihatan.

Ini termasuklah menyokong kesihatan sebelum dan selepas bersalin serta kesejahteraan mental bagi kedua-dua ibu dan bapa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan