Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua masjid S'pura siap sedia untuk buka pintu kepada jemaah; 6 masjid ini terus tutup

Masjid-masjid seluruh Singapura sudah mula membuat pelbagai persiapan untuk membuka semula pintunya kepada para jemaah bermula 2 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Masjid-masjid seluruh Singapura sudah mula membuat pelbagai persiapan untuk membuka semula pintunya kepada para jemaah bermula 2 Jun ini.

Ini setelah hampir tiga bulan ia ditutup disebabkan COVID-19.

Sekalipun demikian, enam daripada 70 masjid di Singapura tidak akan dibuka Selasa ini, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini, iaitu Masjid Bencoolen, Masjid Abdul Gafoor, Masjid Ba'alwie, Masjid Burhani, Masjid Pulau Bukom dan Masjid Temenggong.

2 JENIS RUANG SOLAT DISEDIAKAN - INDIVIDU, KELUARGA

Tinjauan BERITAmediacorp ke atas Masjid Sultan dan Masjid Angullia hari ini (30 Mei) mendapati pihak masjid sedang mempersiapkan dua jenis ruang solat untuk para jemaah. Selain itu proses dan peraturan masuk masjid juga dipersiapkan.

Pegawai Masjid Angullia mengukur jarak antara ruang solat individu.

Kedua-dua masjid juga sudah memulakan persiapan tersebut sejak semalam lagi (29 Mei).

Ruang di dalam masjid dibahagikan kepada dua zon - iaitu zon individu dan zon keluarga.

Zon-zon yang sama juga diadakan di masjid-masjid lain di negara ini.

Petak solat individu di Masjid Sultan.

Hanya lima orang dibenarkan menunaikan solat persendirian dalam satu-satu masa. Semasa penggambaran kami, tiga pegawai turut membuat demonstrasi solat di zon individu, di mana jarak antara mereka adalah dua meter.

Keadaan di ruang solat di Masjid Angullia.

Sementara itu sehingga lima anggota yang tinggal serumah dibenarkan bersolat di zon keluarga pada satu-satu masa.

5 ZON KELUARGA

Zon keluarga juga boleh digunakan oleh seorang jemaah muslimah pada satu-satu masa sekiranya zon itu tiada jemaah lain.

Ruang solat keluarga.

Zon keluarga di Masjid Angullia.

Masjid Sultan hanya menyediakan dua zon keluarga sahaja, walaupun sesebuah masjid dibenarkan mempunyai maksimum lima zon keluarga.

"Ia adalah untuk kami lihat bagaimana kami dapat mengawal pergerakan keselamatan mereka (jemaah) dan jika kami dapat kawal dengan baik insya Allah kami akan buka lebih ruang zon untuk keluarga," Pegawai Pengurusan Keselamatan Masjid Sultan, Rosley Samad, memberitahu BERITAmediacorp.

Zon keluarga di Masjid Sultan.

PROSES MASUK MASJID

Langkah keselamatan lain demi pencegahan COVID-19 yang akan diwajibkan ke atas jemaah sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid, termasuklah membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau 'hand sanitiser', memeriksa suhu badan dan mendaftarkan butiran diri dengan mengimbas kad pengenalan atau kod QR SafeEntry.

Tempat mengimbas butiran diri.

Tempat memeriksa suhu badan, mengimbas butiran diri di pekarangan Masjid Sultan.

Para jemaah juga perlu mengimbas butiran diri sebelum keluar dari masjid. Ini bagi memudahkan proses pengesanan kontak sekiranya berlaku sebarang kes jangkitan.

Tempat mengimbas butiran diri.

Tempat mengimbas kod QR SafeEntry di Masjid Angullia.

Jika anda perlu menunaikan solat di masjid setelah ia dibuka kelak, perlu diketahui bahawa hanya satu laluan masuk dan keluar akan dibuka.

Contohnya, laluan masuk dan keluar adalah di pintu yang sama namun dibahagi dua - satu laluan masuk dan satu lagi laluan keluar.

Laluan keluar dari masjid. 

Laluan khas untuk keluar dari Masjid Angullia.

Sekalipun demikian, sebilangan masjid lain seperti Masjid Angullia, yang terletak di Serangooon Road, mempunyai pintu masuk dan keluar yang berbeza.

Maka, para jemaah dinasihatkan agar membawa beg kecil untuk mengisi sepatu atau selipar mereka, selain kelengkapan solat peribadi yang lain.

Di setiap ruang solat pula - baik di zon individu mahupun di zon keluarga - ada disediakan tempat meletak kasut.

Ruang solat individu dengan tempat meletak kasut. 

Meja kecil disediakan untuk meletak kasut di Masjid Angullia.

DITUTUP 1.5 BULAN SETELAH DIBUKA

Berbeza dari Masjid Sultan, Masjid Angullia menyediakan tiga zon keluarga.

Masjid Angullia sebenarnya baru sahaja dibuka secara rasmi pada 14 Februari lalu selepas menjalani kerja-kerja naik taraf.

Namun ia terpaksa ditutup kira-kira sebulan setengah kemudian, iaitu pada 13 Mac, dek COVID-19.

Masjid Angullia. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Masjid Angullia di Serangoon Road.

Pada waktu itu, Masjid Angullia sudahpun bersedia dengan kelengkapan untuk mencegah penularan jangkitan.

Namun, ia "seolah-olah ibarat projek terbengkalai" apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan atau 'circuit breaker' dilaksanakan, menurut Pengurus Masjid Angullia, Asheeq Jumahir.

"Waktu pembukaan masjid itu kami sudah ada di dalam waktu-waktu COVID-19. Jadi sebahagian daripada peralatan dan perkakas untuk persiapan kami mencegah COVID-19 sudah ada di masjid jadi buat kali ini ia tidak begitu sukar bagi kami. Kami hanya perlu keluarkan kembali dan gunakan semula," Encik Jumahil memberitahu BERITAmediacorp.

Ruang-ruang solat terhad di masjid-masjid setempat itu untuk memudahkan, khususnya para pekerja yang berada di kawasan berdekatan menunaikan solat.

"Kebanyakan jemaah yang akan datang ke Masjid Angullia adalah pekerja-pekerja di kawasan ini seperti dari (pusat beli belah) Mustafa dan juga hospital berdekatan dan juga pekerja-pekerja khidmat asas yang membuat penghantaran dan selalu berada di kawasan ini," tambah beliau.

Para jemaah diingatkan bahawa dari Selasa 2 Jun hingga Ahad, 7 Jun masjid-masjid hanya dibuka antara pukul 1.00 tengah hari hingga 6.00 petang iaitu bagi solat Zuhur serta Asar sahaja.

Mulai 8 Jun pula, kebanyakan masjid akan dibuka untuk solat lima waktu.

Namun demikian, solat berjemaah dan solat Jumaat masih lagi digantung buat masa ini, sehingga dimaklumkan kelak.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan