Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua majlis pernikahan antara 7 April dan 4 Mei perlu ditangguhkan

Majlis akad nikah yang dijadual dijalankan antara 7 April hingga 4 Mei perlu ditangguhkan, dengan rayuan akan didengar mengikut kes, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) pada Isnin (6 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Semua majlis pernikahan antara 7 April dan 4 Mei perlu ditangguhkan

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 07 Apr 2020 07:10AM Dikemas Kini : 07 Apr 2020 07:15AM

SINGAPURA: Majlis akad nikah yang dijadual dijalankan antara 7 April hingga 4 Mei perlu ditangguhkan, dengan rayuan akan didengar mengikut kes, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) pada Isnin (6 Apr).

Menjawab soalan daripada Mediacorp, jurucakap MSF dan ROMM berkata dalam satu kenyataan bahawa para pegawai Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan ROMM akan membantu pasangan yang sudah memfailkan notis perkahwinan mereka untuk pernikahan diadakan dalam tempoh ini.

Mereka akan membantu dari segi membuat aturan untuk menundakan notis pernikahan dan mengecualikan atau mengembalikan yuran-yuran berkaitan.

"Selaras dengan pengumuman "memutuskan rantaian jangkitan" untuk membendung penularan virus COVID-19, pasangan yang ingin berumah tangga amat digalakkan untuk menundakan majlis pernikahan untuk keselamatan mereka, para tamu dan Tok Kadi," menurut kenyataan itu.

"Ini termasuk pengesahan dokumen dan majlis pernikahan di ROM/ROMM dan yang diadakan di tempat luar dalam tempoh antara 7 April hingga 4 Mei 2020. Kami meminta kerjasama semua pasangan dan akan mengendalikan rayuan mengikut kes."

Permohonan baru untuk memfailkan notis perkahwinan dalam tempoh itu juga tidak akan diterima, tambah kedua-dua kementerian tersebut.

"Kami amat menyesali kesulitan yang terbit daripada perkara tersebut. Namun, memandangkan keadaan sekarang, kami meminta kerjasama semua pihak untuk memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab sosial untuk mengekang penularan COVID-19 dan melindungi diri kita, keluarga dan orang tersayang, serta masyarakat dalam keadaan selamat," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat (3 Apr), Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa Singapura mengambil "langkah tegas" untuk mengekang penularan COVID-19.

Langkah-langkah itu termasuk penutupan sebahagian besar tempat kerja, tidak termasuk perkhidmatan penting dan sektor ekonomi utama, kata Encik Lee.

"Tempat makan, pasar basah dan pasar raya, klinik, hospital, api air, pengangkutan dan khidmat perbankan utama akan terus beroperasi. Mereka adalah perkhidmatan penting," tambah Encik Lee.

LAPORAN BERKAITAN:

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HK/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan